Generasi muda perlu disemai semangat cintakan tanah air

0
66
Japlin mengibarkan bendera Jalur Gemilang bersama tetamu yang hadir.

KOTA BELUD: Semangat patriotisme dan cintakan negara bukanlah perkara yang mampu timbul sendiri dalam diri setiap individu. Ia perlu dipupuk dan disemat dalam diri seseorang sejak kecil lagi, agar jiwa mereka sebati dengan perasaan itu.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, Datuk Japlin berkata ini adalah sesuatu yang amat penting terutama dalam kalangan generasi muda kerana mereka perlu sedar bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang mereka kecapi hari ini bukan datang secara percuma.

“Rasa cintakan tanah air dan patriotisme harus dipupuk dari peringkat awal alam persekolahan. Bagaimanapun, pendidikan awal di rumah menjadi teras utama dalam mendidik dan memupuk semangat patriotisme dalam jiwa anak.

“Ibu bapalah pendidik utama yang memberi kesedaran dan pendedahan mengenai pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan perasmian penutupan Kejohanan Olahraga dan pelancaran Bulan Kemerdekaan serta Kibarkan Jalurkan Gemilang peringkat Sekolah Rendah Keguraan Tahun 2019 di Padang SK Keguraan Kota Belud semalam.

Japlin yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Belud menyeru golongan muda supaya pengisian maksud kemerdekaan itu benar-benar menepati maksud dan hala tuju negara.

“Melalui penghayatan erti kemerdekaan, ia perlu diperbetulkan supaya golongan muda bebas dari belenggu penjajahan berbentuk pemikiran dan bukan sekadar pentadbiran sahaja.

“Mereka (generasi muda) harus membangun dan merancang masa negara supaya dapat menyumbang tenaga dan fikiran untuk meningkatkan sosio ekonomi kita,” katanya.

Jelas Japlin setiap warganegara dari kecil hingga dewasa mempunyai peranan dan tanggungjawab begitu juga para pemimpin masyarakat dan rakyat jelata.

“Sebagai seorang murid sekolah yang diberi infrastruktur yang lengkap untuk belajar kita haruslah bersyukur dan berusaha dengan gigih utk mencapai cita-cita. Secara tidak langsung mereka juga menyumbang kepada pembangunan Malaysia di masa akan datang.

“Harapan saya agar anda semua mengekalkan ciri-ciri warganegara yang baik, berakhlak mulia ,berdisiplin serta hormat menghormati antara satu sama lain apabila dewasa nanti,”ujarnya.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Mohd Fadzil Abd Razan, Guru Besar SK Keguraan Kota Belud, Rosminah Hj Suhaibul, Ketua Srikandi Bersatu Kota Belud Hasrina Wati Datuk Golkhan, ahli jawatankuasa PIBG, guru-guru dan murid-murid sekolah.-pr/BNN