PIBS prihatin Nasib gelandangan bandaraya KK

0
183
Sebahagian ahli PIBS yang menjayakan program mengedar bungkusan makanan dan Jalur Gemilang sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU:  Pertubuhan Insan Bakti Sabah (PIBS) telah mengagihkan sumbangan sebanyak 50 bungkusan makanan dan Jalur Gemilang kepada gelandangan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu sempena ambang merdeka yang lalu.

Ahli-ahli PIBS mengagih-agihkan bungkusan makanan kepada gelandangan.

Aktiviti ini diketuai Timbalan Pengerusi PIBS, Encik  Mohd Riduhan Bin Datu Abat bersama beberapa ahli jawatankuasa dan ahli PIBS Cawangan Kota Kinabalu bermula jam 11.00 malam hingga 1.00 pagi.

Kawasan yang mereka lawati ialah Kampung Air,  Taman Bunga di hadapan bangunan mahkamah lama dan banguna lama  perpustakaan.

Pengerusi PIBS Datin Suraya Ahmad berkata, pengisian malam itu bukan sahaja hanya memberi sumbangan makanan kepada gelandangan, mereka juga diberi sehelai Jalur Gemilang bagi sama-sama memperingati dan menyemarakkan semangat patriotisme dan kemerdekaan yang perlu ada dalam jiwa setiap rakyat.

Katanya,  walaupun hidup sebagai gelandangan namun mereka harus ingat bahawa mereka masih bernasib baik kerana hidup di dalam negara yang aman dan damai serta bebas dari peperangan.

Beliau berkata, inisiatif yang dilakukan oleh PIBS itu bukan sahaja sebagai aktiviti kebajikan, namun ianya juga suatu pendekatan dalam menjalinkan hubungan silaturrahim antara masyarakat.

Melalui jalinan ini, beliau yakin akan lahir masyarakat yang lebih prihatinan dan ikhlas membantu golongan yang memerlukan.

“PIBS berharap akan mendapat sokongan  daripada masyarakat Sabah,terutamanya bagi bersama-sama beramal dan membantu golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik.

“Ini sekaligus dapat membantu meringankan beban kerajaan di dalam hal-hal berkitan kebajikan. Usaha ini akan diteruskan di masa akan datang dan PIBS merancang menjelajah seluruh Sabah utuk aktiviti-aktiviti kebajikan yang lain”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suraya Ahmad  berkata, pertubuhan itu juga akan memfokuskan aktiviti membantu pesakit dan  penjaga pesakit di hospital-hospital kerajaan yang terdiri daripada golongan daif terutamanya.

Menyentuh rancangan masa depan PIBS, beliau berkata pertubuhan itu akan menggiatkan lagi usahanya untuk mengumpul dana dan apa juga bentuk barangan sumbangan awam bagi membantu masyarakat yang memerlukan.

“Pertubuhan akan menganjurkan siri jelajah amal kebajikan dengan memfokuskan kepada golongan asnaf di seluruh Sabah”, jelasnya.-pr/BNN