Armada BERSATU semakin mendapat tempat di hati belia

0
1166
Johainizamshah (5th left) with youth who participated in the sports carnival.
KINABATANGAN:  Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin mendapat tempat di hati belia negeri ini, kata Ketua Penaja Armada Bahagian Kinabatangan, Encik Johainizamshah Haji Johari.

Katanya,  ini berdasarkan sambutan dan penyertaan beramai-ramai belia negeri ini dalam Armada Bersatu di bahagian-bahagian seluruh negeri.

Johainizamshah (dua dari kiri) menyambut ketibaan Aksyah Nasrah (tiga dari kiri) di majlis itu.

“Sebagai contoh di bahagian Kinabatangan, penerimaan belia terhadap Armada begitu positif dan sangat menggalakkan. Setiap hari ramai belia yang  memohon menyertai Armada.

“Armada merupakan platform terbaik bagi pendedahan awal kepemimpinan kepada golongan belia.”

“Armada Bersatu adalah inklusif  dan membuka ruang yang cukup luas kepada golongan belia untuk memimpin”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Johainizamshah yang juga Pengerusi Biro Belia dan Sukan Armada Bersatu Sabah berkata, Armada memberi peluang kepada golongan belia untuk bersama-sama pimpinan yang lain bergerak ke hadapan.

Katanya, penyertaan golongan belia dalam Armada begitu penting, selaras dengan keputusan kerajaan yang menetapkan belia yang berusia 18 tahun layak  mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata,  belia merupakan pemimpin pelapis dalam menentukan masa depan negara yang perlu diberi satu medium sebagai persediaan untuk memimpin negara, bermula  dari sekarang dan untuk masa depan.

“Kita harus melakukan gerak kerja yang berterusan kerana amat penting untuk mendekati generasi belia ini bagi menghadapi PRU yang akan datang, memandangkan masa depan negara akan ditentukan oleh mereka nanti”, tegasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada Karnival Sukan sempena Hari Kemerdekaan  2019 yang diadakan di Dataran Kampung Paris 1 dekat sini, Johainizamshah berkata,  program itu akan diteruskan kerana ia merupakan kunci utama untuk memenangi hati belia.

“Sukan merupakan platform penting dalam menggalakkan penyertaan belia dalam parti politik terutamanya parti BERSATU.

“Lebih penting lagi ialah dapat mengeratkan lagi silatulrahim di antara semua lapisan masyarakat”, tegasnya.

Karnival itu telah dirasmikan oleh Ketua Bahagian Bersatu P.187 Kinabatangan, Encik Aksyah Nasrah.  Turut hadir ialah Ketua Sri Kandi Bahagian Kinabatangan, Puan Norhayati binti Titing, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Paris 1, Encik  Abd Halim bin Ardin dan MPKK Kg Paris 1 Encik Ardin bin Suradi.

Antara pengisian Karnival Sukan itu ialah pertandingan Futsal, bola tampar lelaki dan wanita, pertandingan mewarna kanak-kanak, Beyblade, Karaoke kategori kanak-kanak dan dewasa.-pr/BNN