Sukan Menyatupadukan Masyarakat

0
145
Ketua Srikandi Bersatu Kinabatangan, Dayang Norfhayati OKK Titing menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

SANDAKAN: Sukan bukan hanya untuk tontonan dan hiburan tetapi ia juga adalah ejen perpaduan dalam menyatukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Pengerusi Biro Belia dan Sukan Bersatu  Sabah Aaksyah Nasrah berkata, sukan perlu dimartabatkan oleh semua pihak sekali gus merapatkan hubungan sesama kaum.

Beliau berkata apabila sukan dapat menyatukan rakyat, kita akan dapat menghapuskan tembok politik perkauman dan agama. Sukan bukan sahaja untuk kita lihat dan nikmati, tetapi jauh lebih besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan kita dan rakyat perlu bangga dengan ini.

“Sukan jelas menjadi wadah yang dapat mengintegrasikan masyarakat berbilang kaum di daerah ini. Apabila bersukan atau beriadah, tiada siapa pun yang akan memikirkan mengenai kaum atau warna kulit, sebaliknya mereka hanya memikirkan cara terbaik untuk bermain dalam satu kumpulan.

“Tidak kira apa jua bentuk sukan yang menjadi pilihan, bola sepak, badminton, olahraga…..rata-rata penggemar sukan yang ditemui percaya semua jenis sukan mampu mengeratkan silaturahim antara kaum,” katanya.

Beliau berkata demikan semasa merasmikan penutupan Karnival Sukan Kampung Paris 1 sempena Hari Kemerdekaan 2019 di Dataran Kampung Paris 1, Kinabatangan semalam.

Program tersebut merupakan anjuran Armadaq Bersatu Kinabatangan dengan kerjasama kawasan Rukun Tetangga 1, Kinabatangan.

Sebanyak 32 pasukan menyertai acara futsal yang terdiri 16 pasukan bola tampar dan 16 pasukan bola tampar lelaki. Program sukan tersebut diadakan selama dua hari.

Aaksyah yang juga Ketua Bersatu bahagian Kinabatangan berkata Armada Bersatu semakin mendapat tempat dihati golongan generasi muda.

Jelasnya golongan belia semakin ramai menyertai Armada Bersatu dengan penerimaan positif belia terhadap Armada Bersatu.

“Program sukan seperti karnival sukan perlu diteruskan kerana ini merupakan kunci utama utk memenangi hati belia. Sukan merupakan platform penting dalam menggalakkan penyertaan belia dalam parti politik terutamanya parti Bersatu dan yang lebih penting dapat mengeratkan lagi silaturrahim di antara semua lapisan masyarakat.

“Belia merupakan pemimpin pelapis dalam menentukan masa depan negara, belia perlu diberikan satu medium dalam persediaan untuk memimpin negara bermula sekarang dan masa depan,” katanya.

Beliau percaya Sukan merupakan salah satu kaedah terbaik untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat dan pada masa yang sama menjadi medium terbaik untuk menerapkan semangat Malaysia Baharu.

“Saya berpendapat aktiviti sukan dan riadah merupakan pendekatan terbaik bagi golongan muda terutamanya pelajar untuk merapatkan hubungan sesama mereka tanpa mengira warna kulit dan agama,” tambah lagi.-pr/BNN