PPN Kedah Persoal Hanya Lantik Ahli Parti Amanah Sebagai AJP PP

0
1590
Datuk Abdul Lateh Mohd Saman

KEDAH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah hari ini mempersoalkan rasional perlantikan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang terdiri daripada hanya kalangan ahli Parti Amanah Negara (Amanah).

Pengerusinya Datuk Abdul Lateh Mohd Saman berkata, PPK kini umpama platform parti Amanah berikutan kuasa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani melantik sebahagian besar AJP dikalangan ahli-ahli parti itu.

Katanya, berdasarkan senarai AJP PPK di Kedah yang diperolehi, Menteri telah melantik  ahli-ahli Parti Amanah bagi mengisi jawatan lantikan tersebut.

“Kini PPK  umpama platform politik kepada Amanah dan ini amat tidak sihat dan tidak akan membantu pertumbuhan dan kemajuan PPK kerana akan ada banyak campur tangan politik”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019, membolehkan sebahagian AJP Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan PPN dilantik melalui kuasa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara di peringkat Nafas, seramai enam orang AJP Nafas boleh dilantik di bawah kuasa menteri itu dan hanya lima orang melalui pemilihan mesyuarat agung pertubuhan tersebut.

Begitu juga di peringkat PPN, seramai lima orang AJP PPN boleh dilantik oleh menteri terlibat dan hanya empat orang sahaja dipilih melalui mesyuarat agung PPN.

Pindaan itu yang berkuat kuasa 1 Mei lepas, menetapkan komposisi AJP PPK mestilah terdiri daripada tujuh anggota yang dalam mesyuarat agung tahunan dan lima anggota lagi dilantik oleh menteri, seorang daripadanya hendaklah Peladang Muda dan seorang lagi Peladang Nita.

Abdul Lateh berkata,  orang politik akan banyak mempengaruhi keputusan pertubuhan peladang kerana sebelum ini ia dilantik oleh peladang dalam mesyuarat agung yang diadakan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai pewartaan Peraturan-peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mendapat bantahan segelintir ahli PPN dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mendakwa ia merupakan satu bentuk campur tangan politik dalam tadbir urus pertubuhan itu.

Sementara itu Abdul Lateh turut mempersoalkan bagaimana PPK membayar elaun mesyuarat kepada AJP yang dilantik dibawah kuasa Menteri memandangkan ianya tidak termasuk dalam  Bajet  PPK tahun 2019 yang diluluskan semasa Mesyuarat Agung Tahunan PPK pada 2018.

“Adakah pihak Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang akan menanggung pembayaran elaun mesyuarat AJP lantikan Menteri?

“Ini memandangkan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 hanyan dibuat dalam tahun ini dan   berkuat kuasa, 1 Mei lalu”, tegasnya.-pr/BNN