Kerajaan negeri sumbang RM60,000 untuk KPA 2019

0
380

KOTA KINABALU: Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2019 terus mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dengan menerima sumbangan sebanyak RM60,000.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Wartawan Sabah (SJA) semasa kunjungan hormat di sini pada Rabu.

Presiden SJA Datuk Muguntan Vanar yang mengetuai kunjungan hormat berkenaan menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri atas sokongan dan keprihatinan dalam menyokong penganjuran KPA 2019.

Muguntan yang juga Pengerusi Penganjur KPA 2019 berkata, tahun ini sebanyak 295 penyertaan diterima melibatkan 11 kategori utama yang dipertandingkan.

Menurutnya, sebelum ini majlis anugerah itu dianjurkan oleh Shell dan bermula tahun ini SJA menjadi penganjur utama.

Bagaimanapun katanya, Shell terus memberi sokongan sebagai salah satu penaja utama KPA selain Petronas dan Cement Industries Sabah.
Dalam pada itu katanya, tema penganjuran KPA tahun ini juga bersempena dengan sambutan Jubli Perak SJA.

“Salah satu tujuan utama majlis anugerah ini bagi meraikan usaha gigih dan kerja keras para pengamal media di Sabah dan Labuan sepanjang 2018.

“Namun, majlis KPA ini juga bertujuan mengenal pasti kejayaan selain meningkatkan standard kewartawanan di Sabah dan Labuan,” katanya.

Semasa kunjungan itu, Muguntan turut menyampaikan jemputan rasmi menghadiri majlis KPA 2019 kepada Shafie.

Majlis KPA 2019 akan diadakan pada 25 November 2019 di Grand Ballroom Magellan Sutera Harbour.-pr/BNN