TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan Konvoi
Semarak Hari Malaysia di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Kampung Lok
Batik, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Negeri turut menyampaikan sumbangan berupa Bantuan Pembelian Peralatan Motosikal kepada seramai 50 orang penunggang P-Hailing dan sumbangan Bantuan Prihatin kepada seramai 150 penerima dari kawasan Tuaran.

Hajiji berkata, Konvoi Semarak Hari Malaysia dan Bantuan Prihatin merupakan program
menyantuni golongan muda dan golongan yang kurang berkemampuan di daerah Tuaran.

Katanya, Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada program yang melibatkan penyertaan anak-anak muda supaya mereka terlibat dengan program dan aktiviti yang berfaedah, positif dan sihat.

Mengulas Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) sebanyak RM10 juta, Hajiji berkata
ia merupakan salah satu inisiatif Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membantu usahawan belia di negeri Sabah.

Sambil mengalu-alukan usahawan belia memohon skim itu, beliau berkata kerajaan mahu
golongan belia turut melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Sekiranya peruntukan yang disediakan tidak mencukupi, insha’Allah kita akan
pertimbangkan menambahnya”, katanya.

Program Pelancaran Konvoi Semarak Hari Malaysia dan Penyampaian Sumbangan Bantuan
Prihatin adalah adalah anjuran bersama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR)
Jabatan Ketua Menteri, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Persatuan Cakna Masyarakat
Sabah (PEMERKASA) dan Tuaran Youth Town Club (TYTC).

Konvoi Semarak Hari Malaysia disertai oleh seramai 150 peserta, melibatkan jarak sejauh 10 kilometer.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri,
Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah IKRAR, Encik Azrul Ibrahim, Pengarah YKS, Puan
Rugayah Ag Besar dan Pegawai Daerah Tuaran, Encik Syahrin Samsir.-pr/BNN