KOTA KINABALU: Keharmonian yang terbina dalam hubungan masyarakat pelbagai
budaya, bangsa dan agama di Sabah perlu sentiasa dipertahankan, kata Ketua Menteri,
Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, ia merupakan kekuatan dan identiti penting negeri Sabah yang mempunyai
sebanyak 35 etnik dan 217 sub etnik yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan
80 dialek etnik.

Menurutnya, perbezaan kaum dan agama bukan penghalang untuk hidup bersama
secara harmoni. Saling menghormati dalam kalangan rakyat adalah antara kunci
kejayaan negeri Sabah dalam mengekalkan perpaduan kaum.

Beliau menyeru agar ikatan persaudaraan umat Islam di rantau ini terus diperkukuhkan
atas tautan “ukhuwwah islamiyyah” dan pertahankan amalan kesederhanaan serta
perpaduan agar tidak mudah dipengaruhi atau diganggu gugat oleh unsur-unsur yang
ekstrem.

“Persaudaraan ini penting kerana ia menjadi pengikat kepada usaha-usaha
keharmonian dan kemakmuran berasaskan prinsip-prinsip keadilan, Rahmah dan kasih
sayang. Ajaran Islam juga menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan”.

“Melalui nilai-nilai tersebut, kita dituntut untuk menghormati perbezaan yang terdapat
dalam masyarakat dan menerima realiti kepelbagaian seperti yang digariskan dalam
Islam”, katanya ketika merasmikan Seminar Keharmonian Serantau di Sabah
International Convention Centre (SICC) pada Selasa.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk
Dr. Hj Mohd Arifin Datuk Hj Mohd Arif .

Katanya,dalam memperkukuhkan kesatuan ummah serantau bagi mendepani cabaran-
cabaran global masa kini, umat Islam perlu diperlengkapkan dengan keupayaan intelektual, kreativiti dan daya saing yang tinggi, termasuk cabaran perubahan kepada
cara hidup yang berupaya memberi kesan kepada hubungan dalam masyarakat
pelbagai budaya dan agama.

 

Menurutnya, umat Islam sebagai masyarakat yang dipimpin oleh nilai-nilai agama dan
isu-isu negatif yang melebarkan lagi jurang perbezaan dalam masyarakat perlu
diselesaikan dengan baik.

Sehubungan itu, beliau meminta Umat Islam di negara ini khususnya di Sabah agar
tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan ekstreme yang mampu menggugat
keamanan, perpaduan dan persaudaraan serta keharmonian negara.

Hajiji berkata, wacana keharmonian dan kemakmuran tidak boleh lari daripada
membincangkan dimensi kepelbagaian umat manusia secara keseluruhan. Rantau ini
khususnya, terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama yang sememangnya
merupakan satu dimensi yang perlu diurus dengan cara yang terbaik.

“Saya mengharapkan keharmonian dan keamanan yang terjalin dalam kalangan
masyarakat yang pelbagai di rantau ini menjadi model kepada dunia”, tegasnya.-pr/BNN