KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, terus menunjukkan keprihatinannya apabila menyumbangkan 100 karton air mineral kepada penduduk Kampung Tigot yang terjejas akibat gangguan bekalan air bersih sejak beberapa hari lalu.

Sumbangan berkenaan disalurkan melalui Pasukan Khas Kecemasan Pejabat Wakil Rakyat Bingkor dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Bingkor, melibatkan agihan kepada 20 Ketua Isi Rumah (KIR) di kampung terbabit.

Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Junior Fred, yang mewakili Robert, yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah.

Menurut penduduk, gangguan berlaku selepas pam air telaga utama di kampung itu mengalami kerosakan, menyebabkan mereka terputus bekalan air terawat. Air telaga atau sumur hanya digunakan untuk tujuan mandi dan pembersihan, manakala air mineral yang disumbangkan amat penting untuk kegunaan minuman harian.

Robert menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu membantu, khususnya Pasukan Khas Kecemasan, UPPM Bingkor serta Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) yang turut mengerah tenaga menjayakan agihan bantuan.

“Usaha kecil seperti ini amat bermakna bagi meringankan beban penduduk, di samping mencerminkan nilai kebersamaan serta kepedulian masyarakat Bingkor,” katanya.

Turut hadir membantu dalam pengagihan itu ialah Timbalan Ketua EXCO Wiramuda STAR Sabah, Raziddin Robert bersama beberapa ahli jawatankuasa lain

Robert yang juga Naib Presiden STAR Sabah menegaskan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama STAR akan terus memberi perhatian serius terhadap kebajikan rakyat, selain memastikan setiap permasalahan yang dihadapi mendapat pembelaan sewajarnya.-pr/BNN