KENINGAU: Prinsip *Sabah First” yang terus dijadikan teras setiap dasar dan keputusan Kerajaan Negeri, disifatkan sebagai langkah tepat dalam memastikan kepentingan rakyat Sabah sentiasa diutamakan, kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles.
Beliau berkata, pendirian tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak serta kepentingan rakyat, khususnya berkaitan pengurusan hasil negeri dan hala tuju pembangunan Sabah.
Menurutnya, prinsip Sabah First amat penting bagi memastikan setiap hasil dan sumber negeri diurus secara telus, berintegriti serta bertanggungjawab demi manfaat jangka panjang rakyat.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengutamakan kepentingan rakyat Sabah, malah menjamin peluang ekonomi dapat diperluaskan secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang bangsa, agama atau kawasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Yazid berkata, prinsip berkenaan turut selari dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang disifatkannya sebagai fasa baharu pembangunan negeri berasaskan daya saing, produktiviti dan pengukuhan nilai ekonomi Sabah.
Menurutnya, SMJ 2.0 memberi tumpuan kepada pembangunan yang lebih inklusif dan mampan, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan seiring dengan kemajuan negeri.
Beliau turut menyokong seruan Ketua Menteri agar seluruh rakyat Sabah terus bersatu hati dan berganding bahu menjayakan agenda pembangunan negeri, demi menjamin kestabilan politik, perpaduan masyarakat serta kemakmuran berterusan.
Dalam pada itu,Yazid merakamkan penghargaan kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun yang menyampaikan ucapan Ketua Menteri pada Majlis Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Katanya, penyampaian mesej berkenaan berjaya memperkukuhkan kefahaman rakyat terhadap aspirasi dan hala tuju Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan Sabah terus maju, stabil dan makmur.-pr/BNN