KENINGAU: Penduduk Kampung Sandapak, Bingkor mencadangkan supaya kemudahan tandas di Dewan Serbaguna kampung itu dinaik taraf dengan penyediaan tandas duduk yang lebih mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Cadangan itu dibangkitkan dalam mesyuarat komuniti yang dihadiri lebih 50 penduduk di dewan berkenaan selepas kemudahan tandas sedia ada didapati tidak mempunyai bekalan air serta kurang sesuai digunakan, khususnya oleh golongan warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sandapak, Nick Zenno Mikat Atam, berkata perbincangan bersama penduduk diadakan bagi mengenal pasti keperluan pembangunan paling mendesak di kampung itu.

Menurutnya, mesyuarat tersebut diadakan susulan memo rasmi Pejabat ADUN N.40 Bingkor yang meminta setiap JKKK mengemukakan cadangan projek pembangunan yang memberi impak segera kepada masyarakat.

“Antara cadangan utama ialah menaik taraf kemudahan tandas dewan kampung supaya lebih selesa, bersih dan mesra pengguna, khususnya bagi warga emas dan OKU,” katanya.

Selain itu, penduduk turut mencadangkan pembinaan parit di bahu jalan sepanjang kira-kira 500 meter bagi mengatasi masalah limpahan air hujan yang sering memasuki beberapa rumah berhampiran ketika hujan lebat.

Dewan Serbaguna Kampung Sandapak sering digunakan bagi pelbagai aktiviti komuniti termasuk mesyuarat penduduk serta program bersama agensi kerajaan dan swasta.

Cadangan projek yang dipersetujui dalam mesyuarat itu akan dikemukakan kepada Pejabat ADUN N.40 Bingkor dengan salinan kepada Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bingkor sebelum 13 Mac ini.-pr/BNN