KENINGAU: Dalam suasana umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadan semalam, sebuah keluarga di Kampung Kauran berdepan detik sukar apabila kediaman mereka dilanda kebakaran, namun kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Prihatin dengan insiden itu, Pengerusi MP Project, Moddy Patrick, segera bergegas ke kampung berkenaan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut bagi meninjau sendiri keadaan rumah yang terjejas serta menyantuni keluarga mangsa.

Beliau yang tiba bersama rombongan turut meluangkan masa berbincang dengan mangsa dan penduduk kampung bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian yang berlaku.

Menurut Moddy, beliau bersyukur kerana semua mangsa terselamat walaupun kebakaran tersebut telah menyebabkan kerosakan pada kediaman yang terlibat.

“Syukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku. Kita akan berusaha membantu keluarga ini agar mereka dapat melalui ujian ini dengan lebih tabah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menyalurkan sumbangan bantuan kepada keluarga mangsa dalam masa terdekat bagi membantu meringankan beban mereka selepas kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Moddy turut menyeru masyarakat setempat agar terus menunjukkan semangat kebersamaan dan saling membantu, khususnya dalam bulan Ramadan yang menggalakkan nilai keprihatinan dan solidariti sesama insan.-pr/BNN