KOTA KINABALU: Ketua Merinyu Projek (MenPro) Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata keutamaan beliau pada peringkat awal pelantikan adalah untuk memahami secara menyeluruh cabaran yang mempengaruhi pelaksanaan projek pembangunan di seluruh negeri.

Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian awal, terdapat beberapa isu yang sering menjadi faktor kepada kelewatan projek, termasuk kelemahan dalam perancangan, kekangan proses pentadbiran, keupayaan kontraktor yang terhad, peningkatan kos pembinaan serta cabaran penyelarasan antara pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.

Beliau berkata, memahami punca sebenar sesuatu kelewatan adalah langkah penting sebelum penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan.

“Pendekatan yang diambil bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya untuk mengenal pasti cabaran yang wujud, memahami faktor-faktor yang menyumbang kepada kelewatan dan membantu mencari penyelesaian yang praktikal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata, setiap masalah yang dikenal pasti perlu ditangani secara tegas dan segera supaya projek yang terlibat dapat diteruskan mengikut perancangan.

“Jika sesuatu masalah boleh diselesaikan, kita perlu bertindak dengan segera. Namun, sekiranya sesuatu projek terus terbantut walaupun pelbagai usaha telah diambil, keputusan yang sukar mungkin perlu dibuat.”

“Keutamaan mestilah memastikan projek dapat disiapkan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa agenda pembangunan Sabah memerlukan komitmen, kerjasama, ketelusan dan akauntabiliti daripada semua pihak yang terlibat.

Menurutnya, semangat bekerja sebagai satu pasukan amat penting bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, cekap dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat Sabah.

Salleh berkata, kejayaan pelaksanaan projek pembangunan bukan sahaja bergantung kepada peruntukan yang disediakan, tetapi juga kepada keupayaan semua pihak untuk bekerjasama dalam mengatasi cabaran yang timbul sepanjang pelaksanaan projek.-pr/BNN