KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang turut diserikan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr). Musa Haji Aman, di sini, semalam.
Majlis berkenaan menghimpunkan barisan kepimpinan negeri, ahli majlis serta warga kerja DBKK dalam suasana penuh muhibah sempena Ramadan, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Kehadiran Mohd Ishak mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam menyokong agenda kebersamaan serta kesejahteraan rakyat, selari dengan aspirasi pembangunan bandar raya yang inklusif, mampan dan berteraskan perpaduan.
Program dimulakan dengan bacaan doa sebelum para tetamu menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana sederhana dan tertib, mencerminkan nilai kesederhanaan serta semangat ukhuwah yang menjadi teras sambutan Ramadan.
Majlis seumpama itu turut menjadi platform mempererat silaturahim antara kepimpinan negeri dan warga DBKK, selain memperkukuh sinergi dalam memastikan penyampaian perkhidmatan bandar raya terus dipertingkat demi kepentingan rakyat.-pr/BNN





