KOTA KINABALU : Persatuan Wartawan Sabah (SJA) tahun ini memperkenalkan dua kategori baharu sempena Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 yang mula dibuka penyertaan hari ini (2 Mac).
Penambahan dua kategori baharu ini menjadikan KPA 2026 menawarkan sebanyak lapan kategori keseluruhan melibatkan penyertaan dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
Dua kategori baharu ini iaitu ‘Entertainment, Culture and Arts Photography Award’ dan ‘Promising
Journalist Award’ (Anugerah Wartawan Harapan) diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai dalam kalangan wartawan muda.
Selain itu, ia juga bagi memberi peluang kepada para jurugambar untuk memperluaskan liputan yang mempromosikan budaya tempatan, seni, industri muzik serta artis-artis tempatan.
Tarikh tutup penyertaan KPA 2026 adalah pada 15 Mac 2026 (Ahad) dan sebagai penganjur, pihak SJA mengalu-alukan wartawan, jurugambar, dan penerbit daripada media cetak, elektronik, dan
dalam talian di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk menghantar penyertaan.
Tahun ini, SJA sekali lagi berbesar hati melantik pihak Malaysian Press Institute (MPI) sebagai Sekretariat Pengurusan Penyertaan dan Penghakiman KPA 2026.
Bagi meneruskan prestij penganjuran KPA, setiap penyertaan digalakkan menghantar artikel yang berimpak tinggi bukan setakat dipertandingkan di peringkat KPA, malah boleh dibawa ke peringkat nasional seperti Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM).
Penyertaan KPA 2026 hanya dibuka untuk laporan berita yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025 dan semua penyertaan perlu dihantar secara dalam talian melalui laman web:
http://www.mpi.my/wp/award/kpa-2026
Selain itu, setiap peserta dinasihatkan supaya tidak menggunakan iPhone, iPad, atau pelayar web Safari untuk menghantar penyertaan.
Sila gunakan Google Chrome atau Microsoft Edge bagi mengelakkan sebarang isu atau masalah dalam proses penghantaran.
Sebarang pertanyaan mengenai kategori, hadiah serta syarat dan peraturan pertandingan boleh dirujuk melalui pautan laman web yang disediakan atau diajukan terus kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KPA 2026, Mohd Nazllie Zainul di talian 013-8542972 atau Setiausaha Persatuan Wartawan Sabah(SJA), Siti Aisyah Narudin di talian 019-8508059.
Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Presiden SJA, Mariah Doksil.-pr/BNN





