KENINGAU: Projek pembinaan Jalan Raya Tenom–Pangi perlu disegerakan bagi menjamin keselamatan penduduk pedalaman dan warga pendidik yang selama ini bergantung kepada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) merangkap Pengerusi Perhubungan PMPS Daerah Keningau, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyatakan sokongan terhadap gesaan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri merangkap ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, supaya projek berkenaan dipercepatkan.
Beliau berkata, insiden kereta api yang membawa guru Sekolah Kebangsaan Pangi (SK Pangi) dilaporkan mengalami masalah brek baru-baru ini membuktikan keperluan mendesak kepada laluan alternatif yang lebih selamat dan stabil.
“Penduduk dan warga sekolah di Pangi tidak mempunyai banyak pilihan. Keselamatan mereka tidak boleh terus bergantung kepada satu mod pengangkutan yang terdedah kepada risiko teknikal dan keadaan muka bumi mencabar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yazid yang pernah berkhidmat sembilan tahun sebagai Guru Besar SK Pangi berkata, beliau sendiri berdepan pengalaman menaiki kereta api setiap hari bersama guru dan murid, dengan aspek keselamatan sentiasa menjadi kebimbangan utama.
Malah, katanya, pernah berlaku kejadian runtuhan di Rayoh yang memaksa mereka berjalan kaki hampir enam kilometer melalui landasan kereta api untuk ke Pekan Tenom.
Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) menyegerakan pelaksanaan projek yang diluluskan Kerajaan Negeri pada awal 2025 dan difahamkan kontraktor sudah dilantik.
“Projek ini amat penting sebagai alternatif pengangkutan darat yang lebih selamat, sekali gus menjamin kelangsungan akses pendidikan serta pembangunan sosioekonomi masyarakat pedalaman,” katanya.-pr/BNN





