KENINGAU: Kejohanan Bola Keranjang Piala Newbee Keningau Pertama membuka lembaran baharu dalam perkembangan sukan bola keranjang di daerah ini apabila berjaya menghimpunkan komuniti sukan serta penyertaan 12 pasukan dari sekitar Keningau.

Kejohanan yang berlangsung baru-baru ini telah dirasmikan oleh Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah merangkap Timbalan Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia, Phan Chee Yong.

Dalam ucapannya, beliau memuji usaha Persatuan Bola Keranjang Newbee Keningau yang walaupun masih baharu ditubuhkan, namun telah menunjukkan komitmen serta keupayaan organisasi yang memberangsangkan dalam menganjurkan kejohanan berskala daerah.

Menurut beliau, membina sebuah organisasi sukan biasanya memerlukan masa untuk mengukuhkan struktur serta pengalaman pengurusan, namun semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pihak penganjur membuktikan bahawa komuniti bola keranjang di Keningau mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.

Sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut, sekali gus mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap sukan bola keranjang dalam kalangan belia serta masyarakat setempat.

Phan berkata, bola keranjang bukan sekadar sukan pertandingan, tetapi juga platform penting yang mampu memupuk perpaduan, semangat berpasukan serta persahabatan, selain memberi ruang kepada generasi muda untuk terlibat dalam aktiviti yang sihat dan positif.

Beliau turut berharap Kejohanan Piala Newbee Keningau dapat dijadikan acara tahunan dan seterusnya berkembang menjadi pertandingan yang mampu mewakili daerah Keningau serta negeri Sabah secara lebih meluas pada masa hadapan.

Majlis pembukaan tersebut turut menghimpunkan beberapa tokoh yang telah lama menyumbang kepada perkembangan bola keranjang di Keningau, termasuk bekas Presiden Persatuan Bola Keranjang Keningau Fabian Koh, Presiden semasa Liew Wen Kae, serta Timbalan Presiden Tan Wan Meng.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah Ho Shin Yung dan Presiden Persatuan Bola Keranjang Tenom Anderson Chu Cheong Xin.

Bagi komuniti sukan tempatan, kejohanan ini bukan sekadar acara sukan semata-mata, tetapi menjadi simbol bahawa usaha memupuk minat sukan dalam kalangan generasi muda terus hidup dan berkembang di daerah pedalaman seperti Keningau.-pr/BNN