KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Hj. Yazid Hj. Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyambut baik dan menyifatkan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah sebagai langkah penting yang memberi sinar baharu kepada rakyat negeri ini.
Beliau berkata, kenyataan bahawa pemberian tersebut merupakan keputusan dasar kerajaan yang telah dimuktamadkan dan tidak lagi tertakluk kepada rundingan semula, mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini adalah perkembangan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah sejak sekian lama. Justeru, kita berharap komitmen yang dinyatakan ini dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan segera tanpa sebarang halangan atau penangguhan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut beliau, pelaksanaan pemberian khas 40 peratus hasil itu bukan sahaja melibatkan soal hak, malah menjadi pemangkin utama kepada usaha memperkukuh pembangunan negeri secara menyeluruh.
Katanya, tambahan hasil tersebut berupaya membantu kerajaan negeri menangani isu asas yang masih membelenggu rakyat, termasuk bekalan air bersih, elektrik, serta pembangunan infrastruktur khususnya di kawasan luar bandar.
“Dengan sumber kewangan yang lebih kukuh, pelbagai perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berkaitan dapat mempercepatkan proses pelaksanaan supaya hak Sabah dapat direalisasikan sepenuhnya, selaras dengan semangat MA63 serta demi menjamin masa depan yang lebih sejahtera untuk negeri dan rakyatnya.-pr/BNN





