KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan (ADUN) N.24 Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya (SAY) meminta kerajaan untuk mempelbagaikan rekaaan pakej Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk rekaan rumah bertingkat.

Beliau berkata, ini memandangkan terdapat isu melibatkan penempatan atau saiz tanah terhad terutamanya di kawasan Pantai Barat Sabah.

“Bagi kawasan pinggir pantai yang amat terhad ruang daratannya, saya menyarankan agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar menjelaskan perancangan untuk mempelbagaikan rekaan Rumah SMJ kepada rekaan Rumah Bertingkat pada masa akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Rumah SMJ mencatatkan pembinaan sebanyak 4,482 unit seluruh Sabah sejak dilancarkan pada tahun 2022 oleh Kerajaan Negeri.

SAY berkata demikian dalam sesi perbahasannya di sidang DUN Sabah bersempena Perbahasan Ucapan Dasar Kerajaan bagi Mesyuarat Pertama Penggal ke-dua DUN Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, pada Selasa.

Sementara itu, menyentuh kepada isu perumahan rakyat, beliau turut menjelaskan bahawa jurang pendapatan rakyat dan harga rumah di Sabah amat jauh termasuklah di kawasan Putatan.

“Apakah inisiatif Kerajaan dalam membina rumah mampu milik kos sederhana khusus bagi kawasan sub-bandar atau pinggir bandar seperti Putatan?

“Saya juga mohon penjelasan tentang status terkini permohonan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Daerah Putatan melalui Kerajaan Negeri kepada pihak Kerajaan Persekutuan,”katanya.

Dalam perbahasan yang sama, Shah Alfie turut menyentuh mengenai isu pembangunan infrastruktur dan utiliti terutamanya melibatkan isu penstabilan tekanan air serta kesesakan lalu lintas di kawasan Tanjung Keramat dan Putatan.

“Saya mohon Yang Berhormat Menteri Kerja Raya dan Utiliti menyatakan secara jelas, apakah status terkini penstabilan tekanan air di Daerah Putatan, khususnya di kawasan N.24 Tanjung Keramat?

“Bercakap soal perhubungan jalan raya pula, rata-rata penduduk di Putatan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas yang amat serius dan membazirkan masa produktif mereka setiap hari,”katanya.

Tambah beliau, berkenaan isu tersebut, beliau turut meminta jangkaan masa sebenar Projek Pan Borneo WP06 dapat disiapkan.

“Sementara menunggu ia siap, apakah ada perancangan jalan alternatif lain bagi mengekang kesesakan di laluan lebuh raya hadapan Kem Lok Kawi menghala ke pusat Bandaraya?

“Selain daripada Lebuhraya Pan Borneo, apakah status terkini perancangan pembinaan lebuh raya persisiran pantai Coastal Highway dari kawasan Tanjung Aru memanjang ke Kuala Papar bagi penyelesaian jangka masa panjang,”katanya lagi.-pr/BNN