KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Jali @ Razali mencadangkan penubuhan sebuah Majlis Pengurusan Krisis El Nino dan Krisis Perang Teluk sebagai langkah segera menghadapi tekanan serentak terhadap ekonomi dan bekalan makanan negeri.

Beliau berkata, keperluan itu timbul susulan perkembangan semasa yang menunjukkan risiko krisis bukan lagi bersifat kemungkinan, sebaliknya semakin menghampiri realiti dengan kesan langsung kepada rakyat Sabah.

Menurutnya, ketegangan geopolitik di wilayah Teluk ketika ini mula memberi tekanan kepada harga minyak global, manakala unjuran iklim pula menunjukkan kebarangkalian fenomena El Nino melebihi 60 peratus dijangka berlaku antara Julai atau Ogos 2026 hingga awal 2027.

“Gabungan dua faktor ini bukan sekadar isu antarabangsa, tetapi akan memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah khususnya dari segi kos sara hidup dan jaminan bekalan makanan,” katanya ketika membahas ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau menjelaskan, struktur sistem makanan negara yang masih bergantung kepada import menjadikan Sabah terdedah kepada gangguan bekalan, lebih-lebih lagi apabila negara pembekal utama seperti Thailand, Vietnam, Australia dan India turut berdepan risiko kesan El Nino.

Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan Sabah berdepan kekangan bekalan domestik serta kenaikan harga import secara mendadak, sekali gus memberi tekanan berganda kepada pasaran.

“Tekanan harga kali ini datang daripada dua arah bertindih iaitu peningkatan kos tenaga akibat konflik geopolitik dan penyusutan hasil pertanian kesan El Nino.

“Kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos logistik, manakala penurunan hasil pertanian pula mendorong kenaikan harga makanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Majlis Pengurusan Krisis yang dicadangkan perlu berperanan sebagai mekanisme penyelarasan strategik di peringkat negeri dengan menghimpunkan kerajaan negeri, agensi Persekutuan, pemain industri makanan dan logistik serta pakar ekonomi, iklim dan keselamatan makanan.

Menurutnya, antara fungsi utama majlis itu ialah menyelaras bekalan dan memastikan ketersediaan stok strategik bagi makanan asas seperti beras, ayam dan keperluan harian lain.

“Dalam masa sama, usaha mempelbagaikan sumber import perlu diperkukuh bagi mengelakkan kebergantungan kepada satu negara sahaja,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar majlis berkenaan menggerakkan intervensi bagi mengekang kos serta memperkukuh rantaian bekalan termasuk mempercepat pengedaran hasil tempatan dan meningkatkan pelaburan dalam kemudahan penyimpanan.

Selain itu, katanya, pengeluaran tempatan perlu diperkasa melalui bantuan langsung kepada petani dan penternak termasuk subsidi input, jaminan pembelian hasil serta pelaburan dalam sistem pengairan dan takungan air sebagai langkah menghadapi kemarau.

“Majlis ini juga wajar berfungsi sebagai pusat pengumpulan data dan sistem amaran awal yang memantau pergerakan harga global, potensi gangguan bekalan input serta keadaan cuaca dan hasil pertanian tempatan.

“Pendekatan ini penting supaya setiap keputusan bersifat proaktif dan berasaskan data, bukan bertindak selepas krisis berlaku,” katanya.

Beliau berkata, tanpa tindakan awal, rakyat berisiko berdepan kenaikan harga makanan yang ketara, tekanan kos sara hidup yang meluas serta ketidakstabilan bekalan makanan.

“Justeru, penubuhan Majlis Pengurusan Krisis ini adalah satu keperluan mendesak bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Kassim berkata, Sabah tetap menunjukkan daya tahan ekonomi yang membanggakan apabila berjaya merekodkan pelaburan sektor pembuatan sebanyak RM7.6 bilion tahun lalu, meningkat hampir 208 peratus berbanding 2024.

Beliau turut menyifatkan pelancaran Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 sebagai tepat pada masanya dengan mengekalkan tiga teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Katanya, pelan itu juga memberi penekanan kepada ekonomi biru, pendigitalan dan teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus meletakkan Sabah seiring arus pembangunan global.

Selain itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebanyak 1,173 projek dirancang untuk Sabah termasuk 933 projek baharu dengan siling peruntukan RM12.024 bilion, meningkat 141.62 peratus berbanding RMK12.

“Ini manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan Sabah terus dipacu secara agresif, inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri serta komitmen kerajaan negeri, Sabah berada di landasan tepat untuk terus maju.

“Dengan semangat perpaduan, kestabilan politik serta kerjasama semua pihak, saya percaya Sabah mampu muncul sebagai negeri lebih berdaya saing, makmur dan sejahtera,” katanya.

Beliau menyokong penuh ucapan dasar kerajaan dan berharap segala perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya demi masa depan Sabah. -pr/BNN