SIPITANG: Ahli UMNO diseru terus memperkukuhkan perpaduan dan merapatkan saf perjuangan bagi memastikan parti itu kekal relevan serta terus menjadi wadah membela nasib rakyat dan negara.

Ketua Cawangan UMNO Kampong Sabandar Lanting, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata sambutan ulang tahun penubuhan UMNO ke-80 perlu dijadikan medan memperbaharui semangat perjuangan, kesetiaan serta iltizam dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

Beliau yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sipitang berkata, sepanjang lapan dekad penubuhannya sejak 11 Mei 1946, UMNO telah melalui pelbagai cabaran dan ujian politik, namun tetap berdiri kukuh hasil kesetiaan ahli-ahli serta semangat perjuangan yang tidak pernah luntur.

“UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi wadah perjuangan yang lahir daripada suara rakyat demi mempertahankan maruah bangsa dan kestabilan negara.

“Dalam menghadapi cabaran semasa, seluruh ahli perlu mengetepikan perbezaan dan terus bersatu demi memperkukuhkan parti serta memastikan perjuangan rakyat terus terbela,” katanya dalam perutusan sempena Ulang Tahun Penubuhan UMNO Ke-80, hari ini.

Selaku Mantan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Sabah Nazri turut menegaskan kepentingan memperkasakan generasi muda sebagai pelapis perjuangan parti agar UMNO terus relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik semasa.

Beliau berkata, golongan muda perlu diberi ruang dan peluang untuk bersama memimpin perjuangan parti demi memastikan kesinambungan UMNO pada masa hadapan.

“Semangat perjuangan yang diwarisi sejak penubuhan parti perlu terus dipertahankan agar UMNO kekal gagah dan dihormati rakyat,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Ulang Tahun Penubuhan UMNO Ke-80 kepada seluruh ahli UMNO di seluruh negara dan berharap parti itu terus menjadi payung perjuangan rakyat untuk generasi akan datang.-pr/BNN