KUNDASANG: Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Komuniti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah Siri 3 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh kefahaman, kompetensi serta semangat patriotisme dalam kalangan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO).
Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang berkata, kursus itu menjadi platform penting bagi memperkasa keupayaan warga UPPM sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat dalam menyampaikan dasar Kerajaan Malaysia MADANI serta agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) secara berkesan.
Katanya, penyertaan PPM dan CDO dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Tambunan hingga N.73 Sebatik mencerminkan komitmen tinggi warga UPPM untuk meningkatkan ilmu, kemahiran kepimpinan dan profesionalisme demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui penganjuran kursus ini merupakan permulaan yang amat bermakna dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan. Saya berharap lebih banyak program seumpamanya dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Komuniti UPPM Negeri Sabah Siri 3 di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang, di sini.
Turut hadir Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang serta Penolong Pengarah AKM, Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Yusnilawati Abdul Asik.
Menurut Awang Kadin, sepanjang kursus berlangsung para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian meliputi konsep Malaysia MADANI, kepimpinan komuniti, patriotisme, integriti serta tanggungjawab penjawat awam sebagai penyampai maklumat dan pelaksana dasar kerajaan.
Beliau berkata, warga UPPM merupakan barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian masyarakat terus dipelihara.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua warga UPPM supaya terus mengukuhkan semangat kerjasama, meningkatkan profesionalisme dan sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat bagi memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau turut menggesa semua kakitangan UPPM memanfaatkan setiap peluang latihan dan program pembangunan kompetensi yang disediakan bagi meningkatkan integriti, kecekapan serta kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), para fasilitator serta urus setia atas kejayaan menganjurkan kursus berkenaan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas komitmen yang ditunjukkan sepanjang program dan berharap segala ilmu serta pengalaman yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat, negeri dan negara.
“UPPM akan terus komited melahirkan pemimpin komuniti yang berwibawa, berintegriti dan berdaya tahan bagi mendukung aspirasi Malaysia MADANI serta Sabah Maju Jaya demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.-pr/BNN





