KENINGAU: Ketua Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) Bahagian N.40 Bingkor merangkap Naib Exco Wiranita STAR Sabah Negeri, Jennifer Epil, hari ini mengumumkan peletakan jawatan serta penarikan diri beliau daripada parti, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Jennifer, keputusan tersebut turut disertai oleh sebahagian Ahli Jawatankuasa Wiranita STAR Sabah Bahagian N.40 Bingkor yang telah mencapai kata sepakat untuk menarik diri daripada parti selepas melalui pertimbangan yang teliti dan matang.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, termasuk hala tuju perjuangan parti, aspirasi semasa serta ruang dan peranan wanita dalam landskap politik tempatan yang dirasakan tidak lagi seiring dengan prinsip serta pendirian mereka.
Dalam masa yang sama, Jennifer merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan STAR Sabah atas segala kepercayaan, peluang dan pengalaman yang diberikan sepanjang penglibatan beliau dalam parti.
Katanya, pengalaman tersebut telah membentuk dirinya dan rakan-rakan sebagai wanita yang lebih berani, bertanggungjawab dan peka terhadap kepentingan rakyat serta pembangunan negeri Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa pengunduran daripada parti tidak bermakna perjuangan untuk berkhidmat kepada masyarakat telah berakhir.
Sebaliknya, beliau dan rakan-rakan akan terus menyumbang kepada rakyat dalam kapasiti yang lebih sesuai, berkesan serta selaras dengan nilai dan prinsip perjuangan yang diyakini.-pr/BNN





