Perpaduan membawa kemajuan-Ewon

0
292
Ewon meluangkan masa mengahdiri sambutan Hari Raya Kemas Kota Belud, selepas merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan Upko Seluruh Bahagian Kota Belud.

KOTA BELUD:  Semua pemimpin dan anggota parti harus bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan semua perancangan membangunkan komuniti dan kawasan luar bandar, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian berjalan lancar.

Ketua Upko Bahagian Kota Belud Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata dengan adanya semangat berpasukan dan ikatan perpaduan yang kukuh melalui pembudayaan semangat “mogitatabang” pastinya semua perancangan dan permasalahan rakyat dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya juga mengalu-alukan sesiapa sahaja menyertai Upko atau parti dalam Kerajaan. Saya tidak mahu membina pasukan Upko sahaja semata-mata, tetapi bekerjasama dengan semua parti lain dalam Kerajaan, dan mendengar suara atau cadangan daripada pelbagai pihak sama ada secara individu atau kumpulan.

“Ini juga selaras dengan aspirasi saya sebagai Wakil Rakyat kamu, bahawa perpaduan dan persefahaman amat penting untuk terus diperkukuhkan sebagai asas untuk mengecapi nikmat kemajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Serentak Mesyuarat Agung Cawangan Upko Seluruh Bahagian Kota Belud, di Dataran Skyblue Kampung Piasau, di sini pada Khamis.

Mengenai perancangan pembangunan secara menyeluruh di DUN Kadamaian Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau telah mengenalpasti 25 warga Kadamaian yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang menyertai Pasukan Kadamaian untuk merencanakan pelan pembangunan komuniti dan kawasan Kadamaian.

“Pasukan Kadamaian ini akan mengadakan diskusi pertama di Pejabat KPLB Sabah pada 6 Julai ini, antara lainnya untuk merumuskan perancangan bagi Model Pembangunan Ekonomi Desa Kadamaian,” katanya.

Beliau berkata, dalam enam bulan pertama ini, tumpuan akan diberikan untuk merancang dengan lebih strategik supaya empat tahun seterusnya semua perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

“Saya juga mengalu-alukan input, pandangan dan aspirasi daripada rakan-rakan pimpinan, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang lain dan para pegawai daerah bagaimana Program Pembangunan Ekonomi Desa oleh KPLB Sabah dapat diperkasakan di kawasan masing-masing.

“Bagi kawasan Kadamaian, saya telah berbincang dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) beberapa perkara penting untuk penduduk Kadamaian dan beliau setuju semua syor yang saya nyatakan termasuk memperkenalkan pembinaan jalan luar bandar menggunakan teknologi berasaskan getah yang pertama di Sabah. Ketua Menteri meminta supaya ia dilaksanakan seberapa segera yang boleh,” katanya.

Sebab itu katanya, Lembaga Getah Malaysia akan memberikan taklimat kepada KPLB dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) mengenai teknologi itu pada 9 Julai depan di KPLB Sabah.

Ewon berkata, KPLB juga akan memperluaskan program Pembangunan Ekonomi Desa di seluruh Sabah dan berharap setiap kawasan dapat memberikan cadangan mengenai produk yang berpotensi untuk dimajukan di kawasan masing-masing.

Ewon menerima cenderahati daripada Mijulan

“Bagi kawasan Kadamaian saya mahu 16 mukim DUN Kadamaian masing-masing memperkenalkan produk sendiri dan mempunyai mini kilang memproses produk berkenaan,” katanya.

Beliau turut memperkenalkan bantuan kebajikan untuk setiap kelahiran sebanyak RM200 dan kematian RM300 untuk semua penduduk Kadamaian tanpa mengira latar belakang fahaman politik yang menggunakan peruntukan touchpoints ADUN Kadamaian bermula pada Jun 2018.

Turut hadir, Naib Ketua Bahagian Upko Kota Belud Mijulan Malujin, Ketua Pemuda Bahagian Kota Belud Carlye Lajimin, Ketua Wanita Bahagian Datin Saniah Tuak dan Setiusaha Bahagian Djuanis Mogirong.-pr/BNN