KOTA KINABALU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Brig Jen (B) Tan Sri Datuk Liew Yun Fah, menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas peranan besar mereka dalam menyampaikan maklumat serta menjadi suara rakyat.
Menerusi perutusan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang dimuat naik di laman Facebook beliau, beliau turut merakamkan ucapan Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua pengamal media di negara ini.
Menurutnya, kerjasama erat yang terjalin bersama rakan media sepanjang penglibatannya dalam dunia politik amat dihargai kerana golongan wartawan sentiasa bersama dalam pelbagai situasi, termasuk ketika suka dan duka.
“Terima kasih atas kerjasama sepanjang saya berkecimpung dalam dunia politik. Jatuh bangun, sedih gembira saya, rakan wartawan turut mengetahuinya,” kata Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu.
Beliau berkata, wartawan memainkan peranan penting sebagai lidah rakyat selain menjadi mata kepada pemimpin dalam menyampaikan suara serta realiti yang berlaku di lapangan.
Katanya, sumbangan dan jasa pengamal media amat besar dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat, sekali gus membantu memacu pembangunan dan kemajuan negara.
“Semoga rakan-rakan wartawan terus sukses dan menjadi pemangkin kepada kemajuan negara,” katanya.-pr/BNN




