KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Sabah untuk terus memacu inovasi serta memperluaskan penggunaan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
Beliau berkata, usaha itu termasuk memperkasa kejuruteraan digital, infrastruktur pintar dan teknologi hijau bagi meletakkan Sabah dalam kedudukan yang kukuh untuk menghadapi ekonomi masa depan.
“Melalui profesionalisme dan integriti, IEM Sabah akan mengangkat martabat jurutera sebagai tonggak masyarakat yang dipercayai. Ini bukan sekadar kerjasama, tetapi satu misi bersama untuk membina masa depan Sabah,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-51 IEM Sabah di Magellan Sutera, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, IEM Sabah perlu memainkan peranan lebih aktif dalam bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan standard tertinggi dalam kualiti projek, keselamatan dan kelestarian.
Beliau turut menekankan kepentingan mempercepatkan pembangunan jurutera tempatan ke arah status Jurutera Profesional (PE) serta membina tenaga kerja kejuruteraan yang kukuh dan berdikari di Sabah.
Menurutnya, jurutera masa kini bukan sahaja pembina negara, tetapi juga arkitek penyelesaian dan rakan strategik dalam tadbir urus.
Melalui hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), kerajaan negeri telah menetapkan agenda transformasi yang jelas, termasuk memperkukuh hubungan infrastruktur, mempercepat pertumbuhan industri dan ekonomi, memastikan pengurusan sumber yang mampan serta memperkasakan modal insan berkualiti tinggi.
“Kerajaan negeri melihat IEM Sabah bukan sekadar sebuah badan profesional, tetapi sebagai rakan strategik dalam pembangunan. Kerjasama ini perlu terus diperkukuh dengan tujuan dan impak yang lebih besar,” katanya.
Beliau berharap IEM Sabah akan terus melahirkan jurutera yang cemerlang dari segi teknikal, berpandangan jauh, beretika, bertanggungjawab secara profesional, berdaya saing di peringkat global serta memahami keperluan Sabah.
“Ini adalah pelaburan kita terhadap generasi muda untuk menjadi arkitek kepada fasa pertumbuhan Sabah yang seterusnya,” katanya.-pr/BNN





