KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Beliau berkata, langkah itu akan membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi yang lain.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal.

Hajiji berkata, tema persidangan ASAIHL, “Bridging Borders and Building Futures: Lifelong Learning for Sustainable Development and Digital Transformation in Asia” amat bertepatan dalam era perubahan pesat ketika ini.

Menurut beliau, Sabah berdepan pelbagai cabaran kompleks dalam memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat, termasuk faktor geografi yang luas meliputi kawasan pesisir pantai, tanah tinggi dan pedalaman terpencil, selain kepelbagaian etnik serta budaya penduduknya.

“Kita juga berdepan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar. Namun begitu, kita telah mengambil langkah proaktif bagi menangani cabaran ini, antaranya menggalakkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Sabah, kolej komuniti, pusat latihan vokasional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluaskan akses kepada pendidikan berterusan,” katanya.

Beliau berkata, persoalan utama bukan lagi sama ada pembelajaran sepanjang hayat itu penting, tetapi bagaimana membina sistem, kerjasama dan pemikiran yang membolehkan pembelajaran itu diakses secara saksama serta berkesan oleh semua lapisan masyarakat.

Hajiji berkata, AI sedang mengubah cara manusia bekerja, manakala kemunculan teknologi baharu secara berterusan menuntut industri dan pelbagai profesion menyesuaikan diri.

Menurut beliau, integrasi AI, analitik data raya, pembelajaran mesin dan platform digital dalam pelbagai aspek kehidupan kini mengubah landskap pendidikan, perdagangan, tadbir urus dan interaksi sosial.

“Bagi universiti di seluruh Asia, keadaan ini membuka peluang luar biasa, namun pada masa sama membawa cabaran besar. Peluang itu terletak pada keupayaan kita menjangkau golongan pelajar yang sebelum ini sukar dicapai menerusi platform dalam talian, mikrokelayakan, bilik darjah maya dan pembelajaran diperibadikan berasaskan AI.

“Hari ini saya amat gembira melihat kehadiran pemimpin pemikiran dalam bidang transformasi digital dan inovasi pendidikan di persidangan ini.

“Saya dimaklumkan persidangan ini berjaya menarik penyertaan 12 kertas penyelidikan daripada penyelidik serantau. Inilah bentuk penglibatan intelektual yang kita perlukan bagi menterjemahkan potensi teknologi kepada realiti pendidikan,” katanya.

Ketua Menteri turut berbangga apabila ASAIHL 2026 berjaya menghimpunkan peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Iran, Uzbekistan, Kemboja dan Perancis, sekali gus mencerminkan kepelbagaian tradisi akademik, konteks dasar dan pengalaman yang dimiliki setiap negara.

“Keberagaman ini bukan sekadar satu kejayaan dari segi penganjuran, malah menjadi asas yang menjadikan pertukaran akademik antarabangsa begitu bermakna,” katanya.

Beliau turut memuji UMS atas peranannya dalam usaha berkenaan dan berkata melalui program jangkauan masyarakat, inisiatif pembangunan profesional serta aktiviti penglibatan komuniti, universiti itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan pembelajaran sepanjang hayat kepada rakyat Sabah.

“Saya berharap lebih banyak institusi dan organisasi yang mempunyai aspirasi sama akan mencontohi usaha ini bagi mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.-pr/BNN