KENINGAU: Slick Boxing Club muncul juara keseluruhan Kejohanan Tinju Terbuka Keningau V3.0 selepas mencatat sembilan kemenangan daripada 12 perlawanan yang disertai pada kejohanan yang berlangsung di Bandukan Resort, di sini, pada Sabtu.
Kejohanan itu menarik penyertaan kelab-kelab tinju dari seluruh Sabah dengan seramai 70 atlet berdaftar untuk mengambil bahagian dalam 35 perlawanan.
Bagaimanapun, dua peserta diberikan kemenangan percuma (walkover), menjadikan jumlah atlet yang bertanding ialah seramai 68 orang.
Pertandingan itu mempertandingkan empat kategori iaitu Bawah 12 Tahun (U12), Bawah 14 Tahun (U14), Bawah 16 Tahun (U16) dan Elite, sekali gus mencerminkan perkembangan serta minat yang semakin meningkat terhadap sukan tinju di pedalaman negeri Sabah.
Bagi kategori U12, Fredrio Chrisen dari Garagas Fight Team dinobatkan sebagai Petinju Terbaik selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam divisyen 36 kilogram (kg). Sementara itu, Bryce Joshbekesha Jozender Juil dari Tambuakar meraih anugerah Petinju Terbaik kategori U14 bagi divisyen 40kg.
Slick Boxing Club terus mengungguli kejohanan apabila Zill Qayyim Muhamad Hafiz dinobatkan sebagai Petinju Terbaik kategori U16 bagi divisyen 46kg, manakala Deannel Daminus dari Malinja Boxing Club menerima anugerah Petinju Terbaik kategori Elite bagi divisyen 51kg.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Garagas Fighting Club dengan sokongan Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) serta mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Tinju Negeri Sabah.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi KeTCA, Rafie Robert, yang turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan kejohanan berkenaan.
Pihak penganjur menyifatkan kejohanan itu sebagai platform penting untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat-bakat muda dalam sukan tinju di seluruh Sabah, di samping memupuk semangat kesukanan serta perpaduan dalam kalangan atlet.-pr/BNN





