KOTA KINABALU:  Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah, menggesa mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) supaya mengutamakan pencarian ilmu dan pembinaan integriti diri berbanding terlibat dalam demonstrasi jalanan yang disifatkannya tidak membawa penyelesaian kepada masalah rakyat.

Beliau berkata, tindakan segelintir mahasiswa yang menyertai perhimpunan Gempur Rasuah 3.0 sambil melaungkan slogan integriti tidak seharusnya dianggap sebagai lambang perjuangan sebenar.

“Saya tertarik melihat gelagat sebilangan kecil mahasiswa UMS yang begitu gemar melaungkan slogan ‘integriti’ di jalanan melalui perhimpunan Gempur Rasuah 3.0. Mereka menyangka dengan memegang sepanduk dan menjerit di khalayak ramai, mereka sudah menjadi wira penyelamat bangsa.

“Malangnya, mereka keliru antara perjuangan berlandaskan akal dengan emosi liar yang kosong,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

Aksyah berkata, perjuangan sebenar seorang mahasiswa di menara gading adalah mempersiapkan diri dengan ilmu kerana Agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 memerlukan golongan profesional, teknokrat dan pemikir yang berwibawa untuk memacu kemajuan negeri.

“Sabah memerlukan bijak pandai untuk menyelesaikan masalah rakyat, bukannya pakar sorak jalanan yang hanya tahu memekik tanpa memberi jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata, integriti bukan hanya berkaitan isu rasuah semata-mata, sebaliknya merangkumi nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab dalam setiap tindakan.

“Integriti adalah tentang kejujuran dan amanah. Sebelum kita mahu membetulkan integriti orang lain, bina dahulu integriti dalam diri sendiri.

“Ponteng kelas semata-mata mahu pergi berdemo di jalanan juga adalah satu perbuatan yang tidak berintegriti,” katanya.

Aksyah berkata, tanda utama integriti seorang mahasiswa ialah kejujuran memikul harapan ibu bapa yang telah berkorban wang dan tenaga demi memastikan anak mereka memperoleh pendidikan tinggi.

Beliau berkata, di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memperuntukkan dana besar bagi pembangunan modal insan anak Sabah, justeru peluang itu tidak seharusnya disia-siakan.

“Jangan pulangkan budi kerajaan dan pengorbanan ibu bapa ini dengan kegagalan akademik,” katanya.

Aksyah turut mengkritik kumpulan Suara Mahasiswa UMS yang didakwanya hanya mewakili kelompok kecil mahasiswa dan bukannya keseluruhan warga universiti.

“Mereka mendabik dada seolah-olah mewakili seluruh penuntut, walhal mereka hanyalah kelompok minoriti yang telah tersilap langkah.

“Mereka bukan pejuang, mereka hanyalah alat tunggangan pihak-pihak tertentu yang sedang bankrap modal politik untuk menggulingkan kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau turut mendakwa terdapat sumber yang menyatakan gerakan berkenaan mendapat tajaan daripada organisasi luar negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa mahasiswa supaya berfikir secara matang, menjaga imej sebagai golongan terpelajar serta tidak menggadaikan masa depan sendiri demi kepentingan mana-mana pihak.-pr/BNN