TAWAU: Belia bukan lagi sekadar pewaris kepimpinan masa depan, sebaliknya kini merupakan penjana idea, pemacu ekonomi, peneraju inovasi, pemimpin masyarakat serta rakan strategik kerajaan dalam membentuk pembangunan Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, pembangunan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada kekayaan sumber semula jadi atau kemajuan fizikal, tetapi ditentukan oleh kualiti modal insan, khususnya golongan belia yang menjadi penggerak utama kemajuan negeri.
Sehubungan itu, beliau menggesa belia Sabah agar terus melengkapkan diri dengan kemahiran berimpak tinggi, menguasai teknologi terkini serta memupuk integriti yang kukuh bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam landskap ekonomi masa depan.
“Jangan takut untuk menceburi bidang baharu seperti keusahawanan digital, ekonomi hijau dan inovasi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan untuk diri sendiri serta komuniti setempat,” katanya ketika merasmikan Karnival Belia Sabah sempena Sambutan Hari Belia Negara 2026 di Kompleks Sukan Tawau, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan pembangunan belia sebagai antara keutamaan dalam setiap pelan pembangunan, khususnya apabila Sabah memasuki fasa baharu menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menurut beliau, pelan pembangunan itu bukan sahaja meneruskan pencapaian SMJ 1.0, malah menjadi asas untuk memperkukuh ekonomi negeri, mempercepat pembangunan infrastruktur, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkasa modal insan ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang maju, inklusif dan berdaya tahan.
Katanya, kerajaan akan terus memastikan suara dan keperluan belia sentiasa diberi perhatian menerusi pelbagai dasar dan inisiatif yang bertujuan memperkukuh kepimpinan belia serta mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri terus melabur dalam pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif melibatkan akses pendidikan, latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan bakat, pembinaan kepimpinan serta peluang keusahawanan yang lebih inklusif.
Katanya, sehingga kini kerajaan terus melaksanakan 14 inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021 bagi memastikan lebih ramai pelajar Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa dibebani kekangan kewangan.
Beliau turut berkata, kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan TVET, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), ekonomi digital, automasi, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, industri minyak dan gas, aeroangkasa, maritim, pelancongan, pertanian moden serta ekonomi kreatif yang menawarkan peluang kerjaya luas kepada golongan belia.
Menyentuh pelancaran Sukarelawan Belia Sabah Maju Jaya (SMJ), Hajiji berkata inisiatif itu bukan sekadar sebuah program, tetapi satu gerakan yang menghimpunkan aspirasi, potensi dan cita-cita belia Sabah untuk melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing, berkemahiran, berintegriti, inovatif serta mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.
“Saya berharap Sukarelawan Belia SMJ menjadi platform melahirkan pemimpin muda cemerlang yang berorientasikan rakyat, menjunjung semangat perpaduan dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk bersama-sama membangunkan negeri yang kita cintai.
“Kita mahu belia Sabah dikenali bukan sahaja melalui pencapaian mereka, tetapi juga melalui nilai yang dipegang serta sumbangan besar yang diberikan kepada negeri, negara dan dunia,” katanya.
Beliau turut berharap budaya kesukarelawanan terus diperkukuh dalam kalangan belia memandangkan Sabah sering berdepan pelbagai cabaran termasuk bencana alam, perubahan iklim dan isu sosial yang memerlukan semangat saling membantu tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Pada masa sama, Ketua Menteri menyeru golongan belia agar terus menjadi jambatan perpaduan yang menyatukan masyarakat, memelihara keharmonian serta menangkis pengaruh luar yang boleh mengancam keamanan dan kestabilan negeri.-pr/BNN





