KOTA KINABALU: Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan kritikan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, terhadap kos perkhidmatan pengangkutan rasmi membabitkan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah dan Ketua Menteri sebagai bermotif politik serta tidak mengambil kira realiti operasi pentadbiran kerajaan negeri.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya semalam, beliau berkata, kenyataan Shafie itu lebih bersifat memainkan sentimen awam berbanding mengemukakan perbahasan yang mengambil kira keperluan operasi, pengurusan logistik strategik dan protokol keselamatan pemimpin tertinggi negeri.

Aksyah mengemukakan empat hujah utama bagi mempertahankan keperluan peruntukan pengangkutan khas berkenaan, iaitu faktor kenaikan kos operasi penerbangan, keluasan geografi Sabah, aspek keselamatan pemimpin negeri serta kos penyediaan logistik bertaraf pemimpin negara.

Beliau berkata, sebagai bekas Ketua Menteri, Shafie sepatutnya memahami bahawa pengurusan logistik strategik bukan sekadar membabitkan soal perbelanjaan, malah turut mengambil kira kecekapan pentadbiran, keselamatan dan keperluan mobiliti kepimpinan negeri.

“Sebagai seorang mantan Ketua Menteri, beliau sebenarnya amat mengetahui pengurusan logistik strategik serta protokol keselamatan negeri. Namun beliau memilih untuk membangkitkan isu ini sehingga boleh menimbulkan persepsi yang mengelirukan rakyat,” katanya.

Menurut Aksyah, dakwaan yang cuba menggambarkan peningkatan kos itu sebagai pembaziran juga tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana aset pengangkutan udara kerajaan negeri bukan dimiliki secara langsung, sebaliknya diperoleh menerusi kontrak perkhidmatan dengan syarikat penyedia.

Katanya, perubahan kos operasi adalah perkara biasa dalam industri penerbangan berikutan kenaikan harga bahan api, penyelenggaraan pesawat, perlindungan insurans dan keperluan teknikal yang sentiasa berubah mengikut keadaan pasaran global.

Beliau berkata, syarikat penyedia perkhidmatan turut berdepan peningkatan kos operasi semasa, justeru pelarasan kadar perkhidmatan tidak boleh terus ditafsirkan sebagai pembaziran atau ketirisan.

Mengulas lanjut, Aksyah berkata, keluasan geografi Sabah serta bentuk muka bumi yang mencabar menjadikan penggunaan pengangkutan udara sebagai satu keperluan bagi memastikan urusan rasmi kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan pantas.

“Pergerakan Ketua Menteri dan TYT melibatkan perjalanan ke kawasan pedalaman, daerah-daerah di seluruh Sabah, selain urusan rasmi di Sarawak dan Putrajaya. Mobiliti yang pantas penting supaya proses membuat keputusan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan pengangkutan khas juga berkait rapat dengan keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan bagi melindungi pemimpin tertinggi negeri daripada sebarang ancaman keselamatan.

Katanya, penyediaan perkhidmatan logistik bertaraf pemimpin negeri melibatkan pelbagai kos premium termasuk penyelenggaraan berkala, perlindungan insurans, kesiapsiagaan kru serta pematuhan kepada piawaian keselamatan penerbangan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kos berkenaan tidak wajar dibandingkan dengan tambang penerbangan komersial kerana kedua-duanya mempunyai fungsi dan keperluan operasi yang berbeza.

Aksyah turut berpandangan pembangkang sepatutnya memanfaatkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membawa cadangan yang lebih konstruktif berkaitan ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat, berbanding membangkitkan isu yang menurutnya boleh mengelirukan persepsi masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memperkukuh pembangunan ekonomi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan momentum pembangunan Sabah terus diperkasakan.

“Rakyat hari ini semakin matang dalam menilai sesuatu isu. Apa yang lebih penting ialah memastikan pentadbiran kerajaan dapat beroperasi secara efisien dan efektif bagi menjayakan agenda pembangunan negeri, bukannya terperangkap dengan polemik politik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.-pr/BNN