KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkukuh jentera parti menjelang pilihan raya akan datang dengan menubuhkan lima unit strategik baharu dan mengadakan mesyuarat secara berkala di semua peringkat.

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, berkata langkah itu penting bagi memastikan jentera parti sentiasa tersusun, bersiap siaga serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik semasa.

“Politik sentiasa dinamik. Wanita GRS perlu terus menyelaras gerak kerja, memperkukuh organisasi dan memahami denyut nadi rakyat bagi menghadapi setiap cabaran,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Dalam mesyuarat itu, Azizah mengumumkan penubuhan lima unit strategik iaitu Unit Dasar dan Polisi yang dipengerusikannya sendiri, selain Unit Ekonomi diketuai Datuk Surinam Sadikun, Unit Kesihatan (Simi Linggom), Unit Penerangan (Datin Atin Belynda Buntot) dan Unit Kebajikan (Datin Wong Siow Lee @ Mary Wong).

Beliau berkata, setiap unit berperanan merancang program berimpak tinggi serta memperkukuhkan hubungan parti dengan rakyat melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan.

“Dengan gerak kerja yang mantap, berdisiplin dan proaktif, saya yakin Wanita GRS akan terus menjadi tonggak penting kepada kekuatan gabungan ini,” katanya.-pr/BNN