KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa rakyat Sabah untuk terus memperkukuh perpaduan, memelihara semangat saling menghormati dan menyokong setiap usaha yang menyumbang kepada kemajuan negara.
Beliau berkata perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya merupakan asas kepada kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Acap kali rakyat bersatu, negara menjadi kukuh. Apabila ekonomi berkembang, rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Dan apabila keamanan dipelihara, Malaysia akan terus menjadi sebuah negara yang dihormati dan disanjung tinggi,” katanya pada program Wacana Intelektual Peringkat Negeri Sabah di Dewan Sa’adah, Wisma Muis, pada Sabtu (1 Ogos).
Teks ucapan Ketua Menteri telah dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Haji Mohd Ariffin Datuk Haji Mohd Arif.
“Hari ini, dunia sedang menyaksikan gelombang pergolakan geopolitik yang semakin menggugat kestabilan global. Di banyak negara, peperangan, krisis ekonomi, inflasi, konflik politik dan bencana kemanusiaan telah meragut keamanan rakyat.
“Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang kehilangan tempat tinggal, malah ada yang hilang harapan. Apabila keamanan runtuh, ekonomi turut terjejas. Dan apabila ekonomi lumpuh, masa depan rakyat menjadi tidak menentu.
“Namun di tengah-tengah badai yang melanda dunia, kita perlu bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan kepada Malaysia, khususnya Sabah. Kita terus menikmati keamanan, perpaduan dan kehidupan yang harmonis dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Anak-anak kita masih dapat melanjutkan pelajaran, rumah-rumah ibadat terus makmur, masyarakat terus hidup dalam suasana saling menghormati, dan ekonomi terus bergerak ke hadapan sekali gus memberi harapan,” katanya.
Hajiji berkata keamanan dan kestabilan ini tidak datang secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memelihara kestabilan, memperkukuh ekonomi, memelihara kesejahteraan rakyat dan menjaga keharmonian sosial.
“Apa yang berlaku di peringkat global mungkin memberi kesan kepada kita, namun apa yang lebih penting adalah bagaimana kita mengekalkan keharmonian, perpaduan dan kestabilan di dalam negara kita sendiri.
“Masyarakat perlu berfikiran terbuka dalam menilai isu-isu global, pada masa sama mengekalkan pertimbangan yang bebas dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Justeru, kita mesti terus bersatu padu, hormat-menghormati, bekerjasama dan menyokong agenda pembangunan di bawah kerangka Malaysia MADANI serta menerusi agenda Sabah Maju Jaya,” katanya.
Ketua Menteri turut menzahirkan harapan agar semangat saling menghormati terus menjadi teras kepada perpaduan nasional.
Mengenai program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) itu, beliau berkata ia menjadi platform penting untuk meningkatkan kefahaman awam mengenai isu-isu antarabangsa semasa.
Beliau turut menyifatkan barisan penceramah daripada pelbagai latar belakang sebagai antara kekuatan program berkenaan, kerana ia membolehkan peserta memperoleh perspektif yang lebih luas mengenai perkembangan geopolitik dan cabaran kontemporari.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong program seumpama ini dan berharap ia dapat dianjurkan secara berkala pada masa hadapan,” katanya.-pr/BNN





