KOTA KINABALU:. Kenyataan calon Warisan bagi DUN Segama, Mohammadin Ketapi, bahawa pasukan tentera dan polis Malaysia berperang dengan ayam dan anjing ketika insiden Tanduo pada 2013 amat menjijikkan dan menghina pengorbanan lapan anggota keselamatan yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan tanah air.

Jika bukan kerana komitmen pasukan keselamatan dalam memastikan negeri ini kekal menjadi milik Malaysia, gerak kempen Mohammadin tidak mungkin berjalan dengan lancar, dan beliau pastinya tidak dapat bergerak bebas seperti sekarang.

Jika beliau boleh berkata begitu secara terbuka, bayangkan apa yang dikatakannya dalam pertemuan tertutup bersama pengundi. Apa yang dinyatakannya itu pastinya sudah lama bersarang di pemikiran hingga beliau sanggup berucap dengan penuh angkuh di khalayak, malah memuat naik video ucapan itu di laman Facebook.

Apa yang lebih menyedihkan ialah mendengar gelak tawa hadirin dalam rakaman video itu ketika mendengar ‘jenaka’ mengenai insiden Tanduo. Betapa mudahnya segelintir rakyat melupakan pengorbanan anggota keselamatan supaya mereka boleh meneruskan kehidupan. Apakah ini yang diajar oleh Warisan kepada penyokongnya? Untuk memperlekeh dan memperkecilkan mereka yang menggadai nyawa mempertahankan sempadan Sabah daripada diceroboh mereka yang mahu merampas negeri tercinta ini?

Mungkin beliau menganggap pasukan keselamatan bekerja untuk parti politik. Sepanjang 22 bulan menjadi menteri, nampak jelas tiada apa yang dipelajari beliau mengenai cara pentadbiran.

Mohammadin perlu diajar dan mempelajari bahawa pasukan keselamatan berada di bawah Yang di-Pertuan Agong dan tiadak kena mengena dengan parti politik, tidak kiralah Barisan Nasional atau Warisan. Apakah beliau fikir Perdana Menteri mempunyai kuasa ke atas tentera? Apakah itu sebabnya mengapa Warisan begitu terdesak mahukan Presiden mereka menjadi Perdana Menteri, walaupun ia bermakna mengkhianati rakan sendiri, PKR?

Namun demikian, itulah sikap pemimpin Warisan. Bercakap dulu, berfikir kemudian. Apa yang utama bagi mereka ialah meracuni pemikiran rakyat dengan seberapa banyak keburukan dan memastikan rakyat terus berpecah, tanpa mengambil kira kesannya.

Slopan berpadu mereka kosong semata-mata. Hakikatnya, Warisan adalah punca segala perpecahan. Pemimpin mereka memomokkan penyokong dengan mentaliti ‘kita lawan mereka’ sejak parti itu dilancarkan tiga tahun lalu. Hari ini, keluarga berpecah kerana penyokong mereka menganggap sesiapa yang tidak menyokong Warisan adalah jahat dan mesti dipinggirkan.

Mohammadin fikir beliau boleh menyatukan rakyat dengan memperlekehkan tentera dan polis. Betullah. Rakyat kini bersatu menentang beliau dan parti diwakilinya.

Dengan pemimpin seperti Mohammadin dan ramai lagi dalam Warisan, ada satu perkara perlu diingati rakyat Sabah apabila keluar mengundi Sabtu ini: menyingkirkan parti yang memecah-belah ini selama-lamanya.-

Tan Sri Musa Aman, Kota Kinabalu.