KOTA KINABALU: Negeri Sabah berada di kedudukan 4 tertinggi mencatakan kes demam Denggi selepas negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan negeri Johor.
Setakat 10 Jun 2021, penyakit demam Denggi di negeri Sabah adalah sebanyak 759 kes, dengan bilangan wabak aktif sebanyak 11 dan kumulatif bilangan wabak sebanyak 58.
Setakat ini, terdapat 2 kes kematian di Negeri Sabah yang melibatkan 2 daerah, iaitu daerah Semporna dan daerah Tawau.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Christina Rundi bagaimanapun berkata, kes demam Denggi di negeri Sabah menunjukkan tren penurunan secara berterusan sejak tahun 2020.
Katanya, penurunan pada tahun ini adalah sebanyak 68% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Penurunan ini sememangnya kita diraikan, namun kita tidak boleh leka.
Beliau berkata, penurunan ini disebabkan oleh banyak faktor dan keadaan semasa Pandemik COVID -19 seperti kawalan pegerakan, keberadaan penghuni di dalam rumah dan kurangnya sampah sarap akibat aktiviti manusia dan sebagainya.
“Namun apabila kehidupan manusia kembali seperti dahulu, kita boleh menjangka bilangan kes demam Denggi akan naik semula.
“Justeru, kita perlu melaksanakan aktiviti-aktiviti pencegahan yang mampan dan secara berterusan untuk memastikan tren penurunan ini berlanjutan”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Denggi ASEAN 2021 yang disambut semalam (15 Jun 2021).
Tema Hari Denggi ASEAN pada tahun ini ialah “10 minit Hapuskan Aedes” Tema ini bertujuan menerapkan kesedaran masyarakat untuk melapangkan 10 minit dalam seminggu untuk aktiviti membersihkan persekitaran dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dikawasan jagaan masing-masing.
Dr. Christina berkata, dalam usaha menangani wabak Covid19, pendekatan norma baharu yang diperkenalkan adalah melaksanakan aktiviti gotong royong norma baharu, iaitu pembersihan secara *KENDIRI* bukan saja di dalam rumah tetapi juga di luar rumah.
Beliau mencadangkan setiap ketua rumah perlu melantik seorang ahli keluarga yang akan memberikan peringatan dan membawa ahli keluarga untuk melakukan aktiviti ini selama sepuluh minit seminggu selari dengan pendekatan ‘1 Rumah 1 Juara’.
Beliau menasihatkan semua penduduk negeri Sabah untuk tidak memandang remeh ancaman gigitan nyamuk Aedes.
“Nyamuk aedes boleh membiak di luar dan di dalam rumah dan juga di tempat tempat tumpuan awam seperti taman permainan dan tempat-tempat beriadah. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan tempat tinggal kita demi melindungi ahli keluarga yang tersayang .
“Adalah menjadi tanggugjawab kita bersama untuk memastikan tempat kita bekerja , tempat kita beriadah, tempat kita berkumpul bersih dan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes”, tegasnya.
Dr. Christina turut menyeru rakyat negeri Sabah untuk menyahut cabaran mencegah dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan pendekatan norma baharu iaitu pembersihan persekitaran kendiri selama 10 min setiap minggu.
Hari Denggi ASEAN Kebangasaan tahun ini disambut dengan pengisian video challenge bertemakan “10 minit pembersihan persekitaran kendiri”. Ia bertujuan untuk menghapuskan tempat pembiakan Aedes dan pelbagai lagi promosi di dalam media massa dan media sosial.
Di peringkat Negeri Sabah pula, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah menganjurkan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak 5 hingga 12 tahun dan pertandingan ‘snap a picture’ gotong royong kendiri di rumah masing-masing.
Pertandingan tersebut diharap dapat memberi kesedaran serta memupuk tingkah laku berkekalan untuk melaksanakan aktiviti pembersihan dan penghapusan tempat pembiakan nyamuk Aedes, disamping mempromosikan penggunaan kaedah perlindungan kendiri seperti repelan atau semburan aerosal di dalam premis. -pr/BNN