KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin telah melepaskan peserta Water Colour Walk (WCW) anjuran National Stroke Association of Malaysia (NASAM) Sabah di perkarangan Kompleks Badan-Badan Sukarela dekat sini, hari ini.
WCW yang disertai kira-kira 300 peserta bertujuan untuk mengutip dana bagi membiayai perkhidmatan pusat pemulihan mangsa strok yang dikendalikan oleh NASAM.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri memuji usaha yang dilakukan oleh NASAM Sabah dalam membantu pemulihan yang merangkumi fisioterapi, terapi cara kerja dan pertuturan yang dijalankan oleh ahli-ahli terapi, dan dibantu oleh sukarelawan terlatih.
Katanya, pusat NASAM telah berfungsi sebagai tempat bagi mangsa-mangsa strok membantu diri mereka dalam proses pemulihan, berinteraksi dengan mangsa-mangsa lain selain mendapatkan maklumat serta sokongan kumpulan bagi diri mereka dan juga penjaga mereka.
Turut hadir ialah Pengerusi NASAM Sabah, Puan Jasminah Ali.-pr/BNN