KOTA KINABALU: Penyertaan ibu tunggal dalam produk makanan tradisional sedia untuk dimakan atau `ready-to-eat’, yang diusahakan oleh EMOMS menarik perhatian isteri Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajah Juliah Salag.

“Saya berasa amat kagum dengan konsep operasi EMOMS, melibatkan ibu tunggal yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan produk yang dihasilkan mengekalkan resipi turun temurun dari dapur sendiri atau `homemade kitchen’,” katanya.

Sambil mengalu-alukan penglibatan ibu tunggal sebagai usahawan, katanya ia kerana pandemik COVID-19 telah menjejaskan sumber pendapatan kepada banyak sektor.

Sehubungan itu, Juliah berharap lebih ramai orang terutamanya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada di dalam Belanjawan 2022 negeri.

Dalam Belanjawan Sabah pada tahun ini, kerajaan negeri melipatgandakan usaha
membantu usahawan IKS termasuk dalam aspek pemasaran, katanya ketika melancarkan produk EMOS di Hotel Grandis di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kerjasama dengan Pasaraya Bataras dan PETRONAS Dagangan Berhad melalui program pemasaran produk IKS Sabah di Kedai Mesra PETRONAS, akan diteruskan pada tahun ini.

“Dalam pada itu, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) telah diperuntukkan RM5.76 juta untuk penubuhan empat lagi Pusat PKS pada 2022 bagi membantu memasarkan produk IKS. Ini berita baik untuk pengurusan EMOMS dan juga IKS di Sabah.

“Program Bantuan IKS (BAIKS) yang telah memberi menfaat kepada kira-kira 3,269 usahawan sejak penubuhannya juga akan diteruskan,” katanya.

Sejajar dengan norma baharu dalam menjalankan perniagaan, Juliah menggesa pengurusan EMOS mengambil peluang yang ditawarkan kerajaan melalui pelbagai program yang dirangka untuk meningkatkan kualiti produk IKS serta meneroka pasaran luar negara melalui platform digital

 

“Apa yang penting, produk itu mestilah menarik dari segi pembungkusannya selain
bertahan lebih lama,” katanya sambil menambah bahawa beliau yakin melalui usaha
kerajaan, produk seperti EMOMS bukan sahaja dipasarkan di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. .

Juliah ingin melihat jenama EMOMS yang terdiri daripada pelbagai resipi seperti Ikan
Tausi Berlada yang popular selain pes ikan ampap, pes ayam berempah dan pes rendang ayam dan daging, akan menembusi pasaran tempatan serta luar negara.

Beliau juga berharap lebih banyak pihak termasuk persatuan wanita khususnya yang terlibat dalam perniagaan dapat membantu mempromosikan produk keluaran ibu tunggal dan usahawan IKS di negeri ini dengan menjadikan mereka lebih berdaya saing untuk menembusi pasaran yang lebih besar.-pr/BNN

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag menerima cenderahati daripada Pengarah Urusan EMOM’S Sdn Bhd, Nur Nazlyn Abdullah (kiri) sempena Majlis Pelancaran Jenama EMOM’S di Hotel Grandis, Kota Kinabalu hari ini. Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim (tiga dari kanan).