KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan
Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) akan terus mempelbagaikan lagi programnya di
peringkat akar umbi yang memberikan manfaat kepada golongan memerlukannya.
Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag, berkata
menerusi program kerja lapangan, ahli-ahli MUTIARA GRS dapat menyelami sendiri
kehidupan rakyat khususnya di kawasan kampung dan pedalaman, sekali gus masalah
yang mereka hadapi.
“Kita bersyukur kerana sudah boleh turun padang untuk mengadakan pelbagai program
bersama rakyat di peringkat akar umbi terutama dalam Fasa Peralihan ke Endemik ini.
“Sudah pasti dengan pendekatan ini, tentunya MUTIARA GRS dapat menyumbangkan
cadangan dan saranan kepada wakil rakyat (suami) untuk membantu meningkatkan lagi
tahap kehidupan masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MUTIARA GRS
KALI PERTAMA 2022 di Mini Auditorium Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini
pada Sabtu.
MUTIARA GRS berjaya didaftarkan dengan rasminya pada 21 April 2021 dan nama
pertubuhan itu adalah hasil nukilan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Ketua
Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, iaitu daripada nama sebutir permata
yang amat terkenal di Sabah, Mutiara.
Juliah turut melahirkan rasa bangga dengan komitmen semua ahli MUTIARA GRS yang
terus cekal dan komited terhadap agenda gerak kerja amal yang telah ditetapkan
walaupun berdepan dengan kekangan akibat penularan pandemik COVID-19.
“Pada awal penubuhan MUTIARA GRS, seluruh dunia termasuk negara kita masih
berdepan dengan pandemik. Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang
beberapa kali dibuat turut membataskan aktiviti-aktiviti kita sama ada secara fizikal atau
maya.
“Semoga kita dapat bersama-sama berkongsi pendapat dan cadangan dalam
mesyuarat ini untuk merancang agenda seterusnya,” katanya.
Dalam merancang program untuk rakyat, isteri Ketua Menteri itu berkata aktiviti untukahli MUTIARA GRS juga tidak diabaikan.
“Menjadi misi pertubuhan MUTIARA GRS untuk menjadikan ahli-ahlinya sebagai
seorang yang berkualiti, berilmu, dan berketerampilan.
“Oleh yang demikian, kita juga telah mengambil langkah pro-aktif dengan mengadakan
Kursus Etika Majlis Rasmi dan Pengucapan Awam untuk memperlengkapkan setiap
seorang daripada kita untuk menghadapi cabaran,” katanya.-pr/BNN