KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta dalam membantu memasarkan produk-produk kraftangan dan Industri KeciI dan Sederhana (IKS) Sabah ke luar negara.
Katanya, penglibatan syarikat swasta yang terlibat dalam industri logistik dan E-dagang dapat membantu usahawan Sabah memasarkan produk mereka ke pasaran luar negara.
Beliau berkata, Sabah mempunyai banyak produk kraftangan pelbagai etnik dan produk IKS yang berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara.
“Produk-produk tersebut banyak dijual di pasaran tempatan dan Semenanjung Malaysia sahaja disebabkan kos pengangkutan yang agak tinggi untuk menghantarnya ke luar negara.
“Dengan penglibatan syarikat swasta khususnya yang terlibat dalam bidang logistik dan E-
dagang, sudah tentu ia dapat membantu usahawan tempatan kita untuk memasarkan produk- produk IKS ke luar negara”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada pengurusan World Asia Logistics (M) Sdn.Bhd di rumah Yayasan Sabah di sini, hari ini.
Kunjungan itu yang diketuai oleh pengarah syarikat, Encik Mohd Jabbarullah Bin Abd Kadir bagi membincangkan produk-produk kraftangan dan produk IKS negeri Sabah untuk di pasarkan ke luar negara.
World Asia Logistics merupakan syarikat logistics untuk menghantar barang ke seluruh negara, turut terlibat mengambil produk-produk dari Malaysia untuk dipasarkan ke luar negara melalui aplikasi “MyBakul” dan “Big Borneo”.
Juliah berharap usaha yang akan dilakukan oleh World Asia Logistics menggunakan platform e-dagang dapat membantu usahawan di Sabah khususnya usahawan kraf dan IKS memajukan perniagaan mereka dengan memasarkan produk-produk tempatan ke pasaran global.
Hadir sama Pengarah Urusan World Asia Logistics, Encik E.Kandasamy dan Pengarah Wyngs
(Director of Wyngs), Encik Eswar Kanda Kumar Kandasamy, Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Encik Tseu Kei Yue dan Ketua Bahagian IKS DIDR, Puan Lofina Justin.-pr/BNN