KENINGAU: Hospital Keningau melantik barisan baharu Lembaga Pelawat bagi penggal 2025–2027 dalam satu majlis di Bilik Mesyuarat Pengarah Hospital, Jumaat lalu, sebagai usaha memperkukuh kebajikan pesakit dan mutu perkhidmatan kesihatan di daerah ini.

Pelantikan itu disempurnakan Pengarah Hospital Keningau, Dr. Ridwan Hashim yang menyampaikan surat lantikan kepada semua ahli lembaga, sebelum Mesyuarat Bil. 1/2025 diadakan untuk membincangkan pelbagai agenda berkaitan kebajikan pesakit serta strategi mempertingkatkan sistem perkhidmatan hospital.

Bagi penggal kali ini, Lembaga Pelawat Hospital Keningau diterajui oleh Mohd Sazaki Mohd Zin sebagai Pengerusi, dengan Heldahwati Juhasin sebagai Timbalan Pengerusi. Jawatan Setiausaha pula disandang Noor Ain Mohamed Tahir, manakala Mazhana Mohd Zin dilantik sebagai Bendahari.

Turut menyertai barisan Ahli Jawatankuasa ialah Ansar Durahim, Siti Khatizah Annuar, Joseph Matimbang, Emma Ponciano, Ho Mei Hah @ Adeline, Hairul, Jeffsonzo Japrin, Rose Sogunting @ Joseph dan Emiee Salman.

Hospital Keningau dalam kenyataannya berkata, pelantikan lembaga itu penting bagi memperkukuh peranan mereka sebagai penghubung masyarakat dengan pihak hospital, khususnya dalam memberi maklum balas terhadap mutu perkhidmatan serta mencadangkan langkah penambahbaikan demi kesejahteraan pesakit.

Selain itu, Lembaga Pelawat juga dijangka memainkan peranan lebih proaktif dalam menyokong pelbagai program kebajikan, selain membantu menggerakkan inisiatif komuniti yang memberi manfaat kepada pesakit dan keluarga mereka.-pr/BNN