PUTATAN: Rakyat diingatkan agar tidak terpengaruh dan terpedaya dengan slogan “ubah” yang dibawa oleh parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14), kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.
Katanya, isu ubah yang dibawa oleh parti pembangkang tidak relevan kerana Barisan Nasional (BN) terbukti adalah Kerajaan yang mampu membela nasib dan masa depan rakyat.
“BN juga telah membawa banyak perubahan dan pembangunan di seluruh pelusuk negeri dan sentiasa berusaha membantu meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi rakyat menerusi pelbagai skim bantuan yang diberikan kepada pelbagai peringkat masyarakat.
“Justeru apa yang hendak diubah oleh parti pembangkang? Kerajaan BN yang telah banyak berbakti kepada rakyat tidak ada sebab untuk diubah”, katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata demikian ketika menutup Bengkel Kecemerlangan Kepimpinan Ahli Jawatankuasa Aktiviti KEMAS peringkat parlimen Putatan di Dewan Mini Kampung Ketiau, dekat sini, hari ini.
Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Daerah Putatan, OKK Haji Mohd.Yunus Ismail, Pegawai Kemas Daerah Putatan, Puan Raimah Eidi dan pemimpin masyarakat setempat.
Yahya berkata, rakyat perlu bijak menilai agar akan terpengaruh dan terpancing oleh slogan “Ubah” yang dijajah oleh parti pembangkang.
“Kerajaan yang baik tidak akan “diubah” oleh rakyat. BN mempunyai rekod yang cemerlang dalam mentadbir dan membangun negeri dan negara ini, berbanding parti pembangkang yang hanya membuat janji kosong”, tegasnya.
Menurutnya, parti-parti pembangkang yang bertanding kini sibuk menabur janji-janji kosong yang tidak mungkin dapat mereka tunaikan hanya semata-mata mahu meraikan sokongan rakyat.
Menyentuh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Yahya berkata, jabatan itu telah banyak menabur bakti dengan menganjurkan pelbagai program untuk rakyat termasuk mengadakan Tadika Kemas.
“KEMAS sentiasa mendekati rakyat dan ia sudah sebati dengan masyarakat di kawasan luar bandar”, tambahnya.-pr/BNN