KOTA KINABALU: Sempena Sambutan Ulang Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ke-80, Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah bakal menganjurkan program istimewa bertemakan “80 Menu Sabahan” yang mengetengahkan keunikan makanan tradisional pelbagai etnik di Sabah sebagai simbol warisan, perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Program berkenaan akan berlangsung pada 24 Mei 2026 (Ahad) di Imago Shopping Mall, bermula pada pukul 2.00 petang, dan akan dirasmikan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Mengangkat tema “Rasa Kita, Warisan Kita”, program tersebut menghimpunkan sebanyak 80 menu tradisional etnik Sabah, termasuk daripada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Iranun, Bisaya, Kadayan dan pelbagai etnik lain. Setiap hidangan akan dipamerkan bersama penerangan ringkas mengenai sejarah serta keistimewaannya.
Lebih menarik, kesemua sajian tradisional itu akan disusun membentuk angka “80” sebagai simbolik lapan dekad peranan RTM dalam menyampaikan maklumat, pendidikan dan hiburan kepada rakyat Malaysia.
Program julung kali dianjurkan ini turut dilaksanakan dengan kerjasama beberapa persatuan etnik di Sabah sebagai usaha menyokong pemerkasaan sektor agromakanan serta mempromosikan makanan warisan negeri sebagai salah satu produk pelancongan utama sempena Tahun Melawat Sabah dan Tahun Melawat Malaysia.
Melalui penganjuran program ini, warisan makanan tradisional Sabah diharapkan dapat terus dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang sebagai sebahagian daripada identiti serta kebanggaan negeri.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya warga sekitar Kota Kinabalu dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program berkenaan, di samping menikmati kepelbagaian sajian tradisional yang mencerminkan kekayaan budaya Sabah.-BNN





