KENINGAU: Rakyat Sabah diseru supaya terus mempertahankan keamanan, perpaduan dan keharmonian negeri ini dengan menolak segala bentuk provokasi, hasutan, fitnah, penyebaran berita palsu serta permainan sentimen perkauman dan keagamaan yang boleh mengancam kestabilan masyarakat.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd. Hasnan Tawik @ Charles, berkata keamanan yang dinikmati Sabah hari ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kebijaksanaan serta kematangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya yang sekian lama hidup dalam semangat saling menghormati.

Beliau berkata, Sabah yang dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu menjadi contoh terbaik keharmonian di Malaysia kerana rakyatnya sentiasa mengutamakan nilai kesopanan, hormat-menghormati, semangat kekitaan dan muafakat yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Rakyat Sabah perlu terus mempertahankan nilai perpaduan yang menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan negeri. Kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan yang menyatukan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Yazid berkata, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, semua pihak perlu terus menjunjung prinsip Rukun Negara, menghormati Perlembagaan Persekutuan serta menghayati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas pembentukan negara.

Menurutnya, prinsip-prinsip itu penting bagi memastikan keamanan, kestabilan politik dan kemajuan negara terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan pandangan dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi perlu diurus secara matang, berhemah dan mengikut lunas undang-undang, bukannya melalui tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menggugat perpaduan.

“Semua pihak perlu menghentikan sebarang bentuk provokasi, hasutan, fitnah serta penyebaran berita palsu yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama.

“Jangan sesekali menjadikan isu sensitif sebagai alat untuk memecah-belahkan masyarakat kerana keamanan yang kita nikmati hari ini perlu dipelihara bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Yazid menegaskan Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja yang datang dengan niat baik sama ada untuk bekerja, berniaga, melabur atau berkunjung.

Bagaimanapun, katanya, setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk menghormati adat resam, budaya, undang-undang serta nilai kehidupan masyarakat Sabah.

“Jangan sesekali membawa budaya kebencian, fahaman ekstrem atau melakukan tindakan yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negeri ini,” katanya.

Beliau menegaskan rakyat Sabah akan terus berdiri teguh mempertahankan perpaduan, menolak sebarang cubaan memecah-belahkan masyarakat serta memastikan negeri itu kekal aman, stabil dan makmur demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.

Katanya, semangat “Sabah Di Bawah Bayu – Bersatu Dalam Kepelbagaian, Kukuh Dalam Perpaduan, Teguh Mempertahankan Keharmonian” perlu terus dijadikan pegangan seluruh rakyat negeri ini.-pr/BNN