KOTA KINABALU: Sabah tidak boleh terus sekadar menjadi pengguna kandungan kreatif, sebaliknya perlu muncul sebagai pengeluar kandungan yang mampu menembusi pasaran nasional dan antarabangsa menerusi pembangunan industri kreatif yang lebih tersusun dan berdaya saing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali, berkata sektor ekonomi kreatif berpotensi menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus membuka ribuan peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Beliau berkata, Sabah memiliki kelebihan tersendiri menerusi kepelbagaian budaya, seni, muzik, warisan dan khazanah alam semula jadi yang boleh diterjemahkan kepada produk kreatif bernilai tinggi di pasaran.

“Pada hari ini semakin ramai anak muda Sabah berjaya menghasilkan kandungan digital, filem pendek, muzik, animasi, fotografi dan reka bentuk grafik yang mendapat perhatian bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.

“Namun, potensi besar ini masih belum diterjemahkan menjadi sebuah industri yang benar-benar kukuh kerana ramai penggiat kreatif berdepan kekangan dari segi pembiayaan, kemudahan produksi, latihan profesional, pemasaran digital dan perlindungan harta intelek,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Abdul Kassim berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri budaya dan ekonomi kreatif menyumbang sebanyak 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024 dengan nilai RM130.7 bilion serta mewujudkan lebih 763,100 peluang pekerjaan.

Katanya, angka itu membuktikan ekonomi kreatif bukan lagi sekadar aktiviti sampingan atau hobi, tetapi telah berkembang menjadi antara sektor strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri merealisasikan penubuhan Unit Ekonomi Kreatif Sabah bagi menyelaras pembangunan industri berkenaan secara lebih sistematik, termasuk mengenal pasti bakat tempatan, membangunkan pangkalan data industri, menyelaras latihan, memudah cara akses kepada geran serta menghubungkan penggiat industri dengan pelabur.

Beliau turut mengesyorkan penubuhan Sabah Creative Hub sebagai pusat sehenti yang menyediakan studio, ruang kolaborasi, kemudahan produksi, inkubator perniagaan dan latihan profesional kepada penggiat industri kreatif di negeri ini.

“Langkah ini bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai usahawan kreatif, malah berpotensi membuka ribuan peluang pekerjaan baharu kepada belia Sabah,” katanya.

Selain itu, Abdul Kassim turut mencadangkan pelaksanaan program ‘Maestro Sabah’ yang memberi pengiktirafan rasmi kepada penggiat seni, pengrajin dan seniman veteran negeri ini serta melibatkan mereka sebagai mentor kepada generasi muda.

Katanya, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki golongan berkenaan merupakan khazanah berharga yang perlu diwariskan supaya tidak hilang ditelan zaman.

“Program seperti ini bukan sahaja menghargai sumbangan mereka, malah memastikan kesinambungan warisan budaya Sabah terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut membangkitkan kepentingan perlindungan hak harta intelek (IP) dalam industri kreatif berikutan masih terdapat penggiat seni dan pengrajin tempatan yang berdepan isu karya mereka ditiru atau digunakan tanpa kebenaran serta tanpa bayaran yang sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Unit Ekonomi Kreatif Sabah yang dicadangkan turut berperanan membantu meningkatkan kesedaran, khidmat nasihat dan perlindungan berkaitan hak harta intelek bagi memastikan hasil karya anak tempatan terus terpelihara serta memberi pulangan ekonomi yang adil kepada penciptanya.

Dalam pada itu, Abdul Kassim berkata peruntukan tambahan menerusi RUU Perbekalan Tambahan 2026 juga perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh sektor pendidikan, khususnya melalui bantuan pendidikan, perluasan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran serta penyediaan kemudahan digital kepada pelajar.

Beliau berkata, dalam era kecerdasan buatan (AI), anak-anak Sabah perlu dibekalkan dengan kemahiran digital, analitik data, pengaturcaraan, kreativiti dan pemikiran kritis bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam ekonomi masa depan.

“Graduan yang dilahirkan juga perlu memenuhi keperluan industri agar mereka bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan, malah mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global, termasuk konflik di Timur Tengah yang boleh menjejaskan perdagangan minyak dunia, berpotensi meningkatkan kos logistik, pengangkutan dan makanan yang memberi kesan langsung kepada Sabah.

Katanya, gangguan terhadap laluan strategik perdagangan minyak dunia seperti Selat Hormuz boleh memberi tekanan kepada kos pembangunan negeri, terutama mengambil kira faktor geografi Sabah yang luas serta kos logistik yang sememangnya lebih tinggi berbanding beberapa negeri lain.

Justeru, beliau berkata, RUU Perbekalan Tambahan 2026 amat penting bagi memastikan kerajaan mempunyai ruang fiskal mencukupi untuk meneruskan projek pembangunan, mengekalkan penyampaian perkhidmatan awam dan melindungi kebajikan rakyat sekiranya tekanan ekonomi global terus meningkat.

Beliau turut menegaskan setiap peruntukan tambahan yang diluluskan perlu dibelanjakan secara berhemah, telus dan berimpak tinggi supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat di seluruh negeri.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan mestilah memberi nilai kepada rakyat dan diterjemahkan kepada projek serta program yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya sambil menyatakan sokongan terhadap RUU Perbekalan Tambahan 2026.-pr/BNN