KOTA MARUDU: Sekolah Rendah Advent (SRA) Damai membuktikan keterbatasan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan apabila meraih satu pingat perak dan satu gangsa pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) Ke-58 di Kompleks Sukan Ranau, baru-baru ini.

Kejayaan itu dilakar menerusi tiga atlet sekolah berkenaan, iaitu Lyea Eleazera Ricky Reno, Nadrah Seayon Nelvicoly dan Anseanberly Saining, sekali gus mencatat sejarah sebagai penyertaan terbesar SRA Damai ke pentas MSS Sabah serta menghadiahkan pingat pertama sekolah dalam kejohanan itu.

Pingat perak diraih menerusi acara lari berganti-ganti 4×200 meter Perempuan Bawah 12 Tahun hasil gandingan Lyea dan Nadrah bersama Arsealy Ann Scarlet Jaidi dari SK Lampada serta Rynna Nasir dari SK Tagibang. Kuartet itu turut menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara 4×100 meter.

Lyea turut menyumbang pingat gangsa dalam acara lompat jauh P12, manakala Anseanberly menamatkan saingan di tempat keempat bagi acara 100 meter dan 200 meter.

Pencapaian itu dianggap signifikan selepas penubuhan Damai Athletics Club (Damai AC) pada 2024 yang menjadi pemangkin kepada pembangunan olahraga sekolah melalui latihan lebih sistematik dan pemantauan berterusan.

SRA Damai turut mencatat satu lagi kejayaan membanggakan tahun ini apabila Nadrah berjaya mewakili Sabah ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi acara merentas desa di Labuan pada April lalu.

Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada atlet, jurulatih, guru dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam kejayaan berkenaan.

Kejayaan di Ranau bukan sekadar menambah koleksi pingat, malah membuktikan sekolah kecil di luar bandar juga mampu bersaing dan mencipta kecemerlangan di peringkat negeri melalui usaha, disiplin dan komitmen yang berterusan.-BNN