KOTA KINABULU: Kenyataan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim bahawa Sabah memerlukan dana besar serta kestabilan politik berterusan untuk mempercepat pembangunan negeri wajar disokong semua pihak yang mengutamakan kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, rakyat perlu melihat realiti sebenar bahawa banyak isu asas yang dihadapi Sabah hari ini adalah masalah berlarutan sejak puluhan tahun lalu dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.
Beliau berkata, usaha memperkukuh sistem bekalan air dan elektrik, menaik taraf jalan raya, membina jambatan, menambah kemudahan kesihatan serta mempertingkat infrastruktur luar bandar memerlukan peruntukan besar selain kesinambungan dasar pembangunan yang konsisten.
“Rakyat perlu bersikap adil dan rasional dalam menilai usaha kerajaan. Cabaran yang dihadapi hari ini adalah hasil daripada pelbagai masalah yang terkumpul sejak sekian lama dan memerlukan komitmen berterusan untuk diselesaikan secara menyeluruh.
“Kita tidak boleh mengharapkan perubahan berlaku dalam sekelip mata. Apa yang lebih penting ialah memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan akibat ketidaktentuan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kestabilan politik juga menjadi faktor penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di Sabah, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dan menambah hasil negeri.
Beliau berkata, peningkatan hasil negeri kepada hampir RM7 bilion setahun berbanding sekitar RM3 bilion hingga RM4 bilion sebelum ini membuktikan usaha memperkukuh kedudukan kewangan Sabah mula membuahkan hasil.
“Apabila hasil negeri meningkat, kerajaan mempunyai kapasiti lebih besar untuk melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Peningkatan hasil itu boleh diterjemahkan kepada penyediaan kemudahan lebih baik termasuk bekalan air dan elektrik, jalan raya, pendidikan, kesihatan serta pelbagai infrastruktur lain yang diperlukan rakyat,” katanya.
Hj Yazid turut menyifatkan kejayaan Sabah menarik komitmen pelaburan bernilai kira-kira RM70 bilion sebagai petunjuk positif terhadap keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri ini.
Katanya, pelaburan berkenaan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar menyokong agenda pembangunan negeri serta mengelakkan polemik politik yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan mengganggu pelaksanaan projek pembangunan.
“Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai negeri yang lebih maju dan berdaya saing. Namun, matlamat itu hanya dapat dicapai menerusi kestabilan politik, pentadbiran yang konsisten dan sokongan padu seluruh rakyat.
“Sudah tiba masanya kepentingan rakyat serta pembangunan negeri diutamakan mengatasi kepentingan politik sempit demi memastikan Sabah terus maju, stabil dan makmur pada masa depan,” katanya.-BNN





