PUTATAN: Kempen mengibar bendera Kebangsaan dan bendera negeri Sabah boleh memupuk semangat cintakan negara, patriotik serta mengukuh nilai perpaduan di antara rakyat di negeri ini.

Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, bersempena bulan sambutan Kemerdekaan, Kebangsaan dan Hari Sabah yang jatuh pada tanggal Ogos sepanjang tahun, maka inisiatif program semarak jiwa patriotik perlu dipergiatkan dalam usaha menanam kekuatan cintakan negara dan negeri dari peringkat akar umbi.

Jelasnya, langkah itu setidak-tidaknya dapat menyemai rasa bertanggungjawab di kalangan rakyat untuk menghayati nilai sebuah kemerdekaan yang dikecapi di negara dan negeri ini.

“Sudah tentu, kempen mengibar bendera ini penting dalam usaha kita meningkatkan nilai patriotisme di kalangan masyarakat kita.

“Dengan kukuhnya perpaduan, rasa cintakan negara dapat membangkit semangat semua pihak untuk bersatu padu memajukan negara dan negeri kita.

“Malah, bersempena dengan bulan sambutan sebegini juga, nilai-nilai tersebut secara tidak langsung juga menyemarakan jati diri masing-masing, “katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan, Hari Malaysia (HKHM)Peringkat Komuniti MADANI Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, hari ini.

Hadir sama adalah Pengerusi LPPB Sabah merangkap ADUN Petagas; Datuk Awang Ahmad Shah Awang Sahari dan Pengerusi Perkasa Trading Sdn Bhd merangkap ADUN Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya.

Turut hadir juga adalah Pengarah Jabatan Penerangan Sabah; Jainisah Mohd Noor.

Terdahulu, Shahelmey dalam program berkenaan turut berkesempatan menyertai  aktiviti penjelajahan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) melibatkan 25 buah kenderaan yang disertai seramai 63 anggota dari pelbagai agensi.

Konvoi berkenaan bermula dari Dewan Sri Putatan sebelum berlepad ke Balai Polis Putatan, Kg Sri Pandan, SK Kg Contoh, Balai Raya Kg Muhibbah, SMK Petagas, Balai Bomba Putatan, SMK Tansau dan Balai Raya Kg Meruntum.-pr/BNN