KENINGAU: Semangat patriotisme dan gaya hidup sihat disemarakkan dalam kalangan warga Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ken Hwa Keningau apabila kira-kira 1,600 murid, guru, kakitangan serta ibu bapa dan penjaga menyertai Ken Hwa Merdeka Fun Run sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2026, di sini baru -baru ini.

Program larian santai itu bukan sekadar aktiviti kecergasan, sebaliknya menjadi wadah menyatukan warga sekolah dan komuniti dalam menghayati erti kemerdekaan, di samping memupuk kecintaan terhadap negara serta mengeratkan hubungan silaturahim antara sekolah, murid dan ibu bapa.

Ken Hwa Merdeka Fun Run dirasmikan oleh Presiden MP Team, Moody Patrick, yang mewakili Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Pensiangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Dato’ Seri Arthur Joseph Kurup.

Penganjuran program berkenaan menyaksikan penglibatan menyeluruh warga SMJK Ken Hwa, merangkumi semua murid, guru dan kakitangan sekolah serta ibu bapa dan penjaga, sekali gus mencerminkan kekuatan kerjasama antara institusi pendidikan dengan komuniti setempat.

Selain menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti olahraga, program itu turut bertujuan menyemai semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara sempena Bulan Kemerdekaan, selain memperkukuh jaringan silaturahim dalam kalangan warga sekolah.

Matlamat penganjuran juga selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan murid yang cergas, sihat dan berdisiplin tinggi, selain membentuk persekitaran sekolah yang menghayati nilai kejiranan, kerjasama dan kebersamaan dengan komuniti.

Turut hadir Pengetua SMJK Ken Hwa, Anthony Chong, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah (Board of Management) SMJK Ken Hwa Keningau, Datuk Peter Ma, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Nelson Ng serta barisan tenaga pengajar serta kakitangan sokongan sekolah.

Penyertaan besar-besaran itu memperlihatkan bahawa semangat kemerdekaan mampu diterjemahkan bukan hanya melalui acara rasmi, tetapi juga menerusi aktiviti yang menyatukan masyarakat dalam suasana sihat, positif dan penuh kebersamaan.

Merdeka bukan hanya untuk diraikan, tetapi untuk dihayati — melalui kecergasan, disiplin, perpaduan dan rasa cinta kepada tanah air.-pr/BNN