KOTA KINABALU : Sebanyak 10 karya tempatan Sabah bakal berentap bagi merebut gelaran Juara dalam Anugerah Carta Lagu Artis Sabah Musim Ke-16 (CLAS16) yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 26 September 2026.

Malam kemuncak anugerah tersebut akan diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kota Kinabalu bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam.

Dianjurkan oleh Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah menerusi Seksyen Hiburan dan Muzik dengan tajaan Kerajaan Negeri Sabah, CLAS16 mengangkat tema “Black Gold”.

Anugerah yang dianjurkan sejak tahun 2005 ini bertindak sebagai platform memperkasa ekosistem muzik tempatan serta memberi ruang kepada bakat anak Sabah mendapat perhatian di peringkat nasional.

Kesemua 10 finalis dipilih menerusi pencapaian karya dalam carta mingguan CLAS hasil sokongan dan undian pendengar sepanjang musim.

Senarai 10 finalis CLAS16 yang bertanding adalah:

  • “Bukan Milikmu” – Rusdie Shaah (Komposer: Rusdie Shaah / Lirik: Black)
  • “Semarakkan Harapan” – Mixsimus Jumi (Komposer: Mixsimus Jumi / Lirik: Mixsimus Jumi)
  • “Bahagia Tanpamu” – Qahirah Maisarah (Komposer: Edwan Abu / Lirik: Edwan Abo)
  • “Lumangad Oku Dika” – Ryenald Guntabid (Komposer: Ryenald Guntabid / Lirik: Ryenald Guntabid)
  • “Hati Bukan Mata” – Narsisius Justin Misin (Komposer: Narsisius Justin Misin / Lirik: Narsisius Justin Misin)
  • “Yang Satu” – Moses Bryan Clay (Komposer: Moses Bryan Clay & Don / Lirik: Don)
  • “Mungkin Hari Esok” – Queennera (Komposer: Clerence@Bob / Lirik: Clerence@Bob)
  • “Bintang Menemani Bulan” – Arddley Nicholas (Komposer: Arddley Nicholas / Lirik: Arddley Nicholas)
  • “Memori” – Felix Agus (Komposer: Jun / Lirik: Jun)
  • “Mawar Merekah” – Dang Mar Ezzah (Komposer: Nabil Syafiq / Lirik: Ag Aidil Adzhar Bin Bakar)

Para peserta bakal merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM18,500.00 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Juara bakal membawa pulang RM6,000.00, manakala Naib Juara dan Tempat Ketiga masing-masing menerima RM4,000.00 dan RM2,000.00.

Pemenang kategori khas Vokal Terbaik, Lirik Terbaik, dan Persembahan Terbaik akan menerima RM1,000.00 setiap satu, manakala tujuh finalis lain menerima saguhati RM500.00 seorang.

Persembahan malam tersebut bakal diiringi secara langsung oleh Kombo RTM Sabah dan dihoskan oleh gandingan DJ Edith dan DJ Noddy.

Acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan daripada kumpulan penari Funz Crew serta penampilan khas Juara CLAS Musim Ke-15, Velvet Aduk.

Orang ramai dijemput hadir secara percuma di lokasi atau mengikuti siaran langsung menerusi SABAHfm, media sosial rasmi RTM Sabah, serta aplikasi RTMKlik.-pr/BNN