KOTA KINABALU: Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kebanyakan rakyat Sabah khususnya masyarakat pribumi, bimbang mengenai isu perihal Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang sedang dan akan ditangani oleh Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah.
Katanya, pengumuman oleh Kerajaan mengenai program pemutihan PATI, pemberian dokumen kepada rakyat tanpa negara (stateless), dan terkini cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal untuk menempatkan PATI di pulau-pulau berhampiran sempadan, amat merisaukan rakyat Sabah.
“Apa yang saya suarakan (video mengenai ucapannya menyentuh isu PATI) yang tular di media sosial, merupakan kebimbangan dan suara hati rakyat negeri Sabah.
“Selaku Wakil Rakyat, saya menyampaikan isi hati rakyat yang kurang senang atau tidak setuju dengan beberapa pendekatan atau cadangan menangani isu PATI yang diambil oleh kerajaan”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hajiji yang juga mantan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman yang mengkritik dan menyifatkan beliau sebagai pembangkang, apabila satu rakaman video ucapannya di Tuaran menyentuh isu PATI tular di media sosial.
“Sekiranya apa yang saya sentuh (dalam video itu), merupakan program Kerajaan Negeri yang masih di peringkat cadangan, maka seharusnya ia tidak diteruskan (dilaksanakan), kerana rakyat negeri ini membantah dan tidak bersetuju dengan pendekatan dan cadangan tersebut.
“Tetapi, saya nampak dalam media sosial, ramai orang (warga asing) yang berpusu-pusu berjumpa dengan Suruhanjaya Sumpah (JP), termasuk di Tuaran untuk mengesahkan dokumen diri mereka untuk urusan seperti ini.
“Sehingga terdapat rakyat yang bimbang dengan insiden itu, bertindak membuat laporan polis kerana bimbang dengan kehadiran ramai warga asing.
“Selaku Wakil Rakyat, saya telah diminta oleh rakyat untuk menyuarakan kebimbangan mereka kepada Kerajaan Negeri dan Kerajan Persekutuan. Justeru yang saya suarakan itu bukan bersifat menyerang Kerajaan Warisan Negeri seperti yang didakwa oleh Aziz.
“Kerajaan Negeri seharusnya tidak berasa bimbang dengan hal-hal demikian, kerana saya hanya menzahirkan isi hati dan suara rakyat akar umbi Sabah. Kerajaan Negeri sepatutnya positif dengan teguran daripada rakyat.
“Kenapa Kerajaan Negeri perlu rasa tersinggung atau “offended”, sekiranya perkara ini tidak betul?
“Justeru, sekiranya dasar, program dan pendekatan yang akan diambil oleh kerajaan dalam menangani isu PATI, pemutihan dan rakyat tanpa negara yang mendapat respon negatif daripada rakyat, kerana mungkin akan menghakis hak-hak dan menjejaskan kepentingan mereka selaku pribumi dan warga negara Malaysia, maka ia sepatutnya tidak diteruskan”, tegasnya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sepatutnya memberi keutamaan dan tumpuan kepada membangunkan ekonomi rakyat dan negeri, dan bukan kepada hal-hal seperti menyediakan pulau berhampiran sempadan kepada pendatang asing dan pelarian serta pemberian dokumen kepada PATI.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut mengalu-alukan jaminan Azis Jamman bahawa PATI yang masuk ke negara ini khususnya di negeri Sabah secara haram, jika ditangkap, akan ditahan, dakwa dan dihantar pulang ke negara asal mereka.-pr/BNN